Pengguna Telegram dan Instagram diminta berhati-hati terhadap saluran dan akaun penipuan mempromosikan pembayaran pemerintah, yang boleh menyebabkan pengambilalihan akaun Telegram mangsa.
Dalam satu kenyataan pada 1 Oktober, polis berkata bahawa ia melibatkan penipu yang mempromosikan pembayaran seperti Baucar SG60 dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Mangsa akan menerima mesej di Telegram atau Instagram dengan infografik yang menggalakkan mereka menuntut baucar melalui saluran Telegram palsu yang menyamar sebagai saluran rasmi, lapor The Straits Times (ST).
Mesej-mesej itu diberi tajuk palsu seperti ‘Baucar CDC’ atau datang daripada akaun Instagram palsu seperti ‘govh.sg’.
Setelah mangsa mengklik pautan dalam saluran itu, mereka akan diminta mendedahkan butiran peribadi seperti nombor telefon, nama atau nombor kad pengenalan (NRIC).
Mereka juga mungkin diminta memberikan kod Telegram, yang membolehkan penipu mengambil alih akaun mereka.
Menggunakan akaun Telegram mangsa, penipu akan menghantar pautan pancingan data kepada kenalan mangsa atau menambah mereka ke dalam kumpulan sembang yang mempromosikan skim pelaburan penipuan.
Polis berkata, saluran penyiaran rasmi ‘gov.sg’ di Telegram dan Instagram hanya digunakan untuk tujuan maklumat.
Kementerian Kewangan (MOF) tidak mempunyai saluran penyiaran di Telegram dan tidak akan menghubungi orang awam melalui Telegram, kata polis, sambil menambah bahawa akaun yang disahkan mempunyai tanda semak biru, sementara akaun palsu tidak.
Tanda semak biru boleh dilihat di sebelah nama akaun.
Polis mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan meminta mereka melalui panggilan telefon, media sosial atau e-mel mendedahkan butiran peribadi atau perbankan untuk menuntut baucar pemerintah.
Mereka juga tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang atau memasang aplikasi untuk menuntut baucar atau manfaat tunai pemerintah.
Bagi baucar SG60 dan CDC, orang awam hanya akan menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pautan baucar unik daripada ID penghantar ‘gov.sg’, selepas mereka berjaya menuntut baucar tersebut di go.gov.sg/sg60v atau go.gov.sg/cdcv.
Apabila menuntut baucar digital, orang ramai hanya akan diminta untuk log masuk melalui Singpass untuk pengesahan dan tidak akan diminta mendedahkan sebarang butiran lanjut.
Maklumat rasmi dan terkini mengenai baucar tersebut boleh didapati di go.gov.sg/sg60vouchers dan vouchers.cdc.gov.sg.
Bagi baucar GST, warga yang layak dan telah mendaftar sebelumnya akan menerimanya secara automatik.
Orang ramai juga perlu memberi perhatian bahawa MOF hanya akan menghantar maklumat melalui saluran rasmi mereka.
Pemberitahuan itu tidak akan mengandungi pautan boleh diklik, memerlukan balasan SMS atau meminta sesiapa untuk menyediakan kod pengesahan di mana-mana platform.
Untuk melaporkan maklumat berkaitan penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau menghantar maklumat secara dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness.
Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, lungsuri laman web, www.scamalert.sg atau hubungi talian hotline antipenipuan di 1800-722-6688.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg