Singapura mengumumkan penubuhan sebuah entiti baru yang akan mentadbir dan menyelia lapan skim pembayaran nasional negara, seperti Fast, Giro, PayNow dan SGQR.
Rangkaian Pembayaran Singapura (Span), yang akan beroperasi menjelang 2026, bertujuan memperkukuh tadbir urus bagi kededua skim pembayaran nasional dan rentas sempadan, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank Singapura (ABS) pada 25 Jun.
Ia juga dijangka mendorong inovasi berterusan dalam bidang pembayaran, selain menggalak kerjasama aktif dalam kalangan pemain industri utama.
Anggota awal Span terdiri daripada MAS dan institusi kewangan seperti Citibank, DBS, HSBC, Maybank, OCBC, Standard Chartered dan UOB, lapor The Straits Times (ST).
Sebuah lembaga pengarah akan dibentuk bagi membimbing perkembangan Span daripada peringkat penubuhan hingga ke kesediaan operasi, sambil memastikan tadbir urus yang baik dan pelaksanaan usaha yang seiring dengan matlamat strategiknya, menurut MAS dan ABS.
Lembaga tersebut akan mempunyai 11 anggota, iaitu dua wakil kanan MAS, lima wakil daripada institusi kewangan bank dan bukan bank, serta empat pengarah industri bebas.
Ia juga akan menyelia fasa kerja seterusnya, termasuk penyertaan peserta lain dalam kalangan penyedia prasarana pembayaran utama negara sebagai anggota syarikat, dan peralihan skim pembayaran daripada pentadbir sedia ada masing-masing kepada Span.
Skim sedemikian kini ditadbir urus oleh MAS, ABS, Persatuan Gedung Penjelasan Singapura (SCHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Perkembangan ini berlaku selepas MAS dan ABS mengumumkan pada 12 Februari rancangan menyatukan skim pembayaran nasional Singapura di bawah satu entiti.
Dalam ucapannya semasa majlis makan malam tahunan ke-52 ABS pada 25 Jun, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata penubuhan Span adalah langkah tepat pada masanya untuk memperkukuh prasarana pembayaran nasional dan menggalak inovasi selanjutnya dalam sektor pembayaran Singapura.
Encik Gan, yang juga pengerusi MAS, menarik perhatian bahawa pilihan pembayaran seperti Fast dan SGQR kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian pengguna dan perniagaan, kerana ia memudahkan urus niaga pembayaran peribadi dan korporat di dalam dan luar Singapura.
Pengerusi ABS, Cik Helen Wong, menambah bahawa usaha memperkemas tadbir urus skim pembayaran negara di bawah Span akan membolehkan institusi kewangan bertindak lebih pantas dan berinovasi secara lebih berkesan bagi memenuhi keperluan pembayaran digital pengguna dan perniagaan yang semakin berkembang.
Dalam majlis tersebut, Cik Wong turut memaklumkan bahawa Singapura dijangka melancarkan dua kaedah pembayaran tertunda elektronik (EDP) pada akhir Julai, bagi menyokong peralihan daripada penggunaan cek kepada e-pembayaran.
Pelanggan runcit dan korporat daripada tujuh bank – DBS, OCBC, UOB, Citibank, Standard Chartered, Maybank dan HSBC – akan mempunyai akses kepada kededua huraian tersebut melalui wadah perbankan digital bank.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg