Bank-bank Singapura sedang menyediakan kemudahan perdagangan karbon dan membina keupayaan dalam kredit karbon, walaupun saiz pasaran sukarela yang kecil, yang juga telah dibelenggu oleh skandal ‘greenwashing’ (dakwaan palsu oleh syarikat bahawa produk keluaran mereka mesra alam).
Namun bank dan pemerhati pasaran memberitahu The Business Times bahawa kepentingan pasaran karbon akhirnya akan berkembang, bagi menyokong keperluan penyahkarbonan Singapura dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
Permintaan untuk kredit karbon bagi mengimbangi sisa pelepasan syarikat dijangka meningkat, kata Encik Benedict Tan, ketua dagangan pasaran global di OCBC.
Permintaan bukan sahaja daripada syarikat yang ingin mengimbangi pelepasan mereka secara sukarela, malah didorong keperluan pematuhan yang ditetapkan oleh pemerintah yang mengambil langkah untuk memenuhi sasaran iklim negara mereka, tambahnya.
Kebimbangan mengenai kejujuran projek karbon juga sedang ditangani, kata Encik Conrad Kwok, ketua derivatif penukaran mata wang asing, komoditi dan pengurangan pelepasan untuk pasaran kewangan global di DBS.
Penerimaan peraturan perdagangan karbon global pada sidang puncak iklim COP29 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baku, Azerbaijan, pada akhir 2024 telah memperbaharui harapan bahawa tidak lama lagi akan ada piawai sejagat yang perlu dipatuhi projek karbon agar boleh dianggap sebagai boleh dipercayai.
Di bawah rangka kerja kewangan peralihannya, UOB menawarkan pembiayaan untuk pelanggan yang membangunkan projek karbon, atau membantu pelanggan yang ingin membeli kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan mereka.
OCBC telah menubuhkan meja perdagangan pelepasan pada 2023 dan menawarkan pematuhan dan kredit karbon sukarela serta sijil ciri tenaga (EAC).
Bagi DBS, ia menyediakan keupayaan perdagangan dan penstrukturan untuk pelanggannya bukan sahaja untuk kredit karbon sukarela, malah syarikat yang perlu mematuhi sistem perdagangan pelepasan Kesatuan Eropah, yang merupakan pasaran karbon terbesar di dunia.
Encik Kwok menambah, keupayaannya membeli dan menyimpan kredit karbon memberikan pelanggan fleksibiliti untuk menyesuaikan pembelian mengikut keperluan mereka, berbanding dengan pertukaran karbon dan platform yang mempunyai saiz transaksi yang telah ditetapkan.
Ini akan memberi perniagaan yang lebih kecil – yang mungkin tidak mempunyai skala untuk membuka akaun secara langsung dengan bursa, pendaftar dan platform – akses kepada kredit, tambahnya.
Ini adalah antara produk dan perkhidmatan berkaitan kredit karbon yang telah ditawarkan oleh bank dalam rangkaian penyelesaian penyahkarbonan untuk pelanggan korporat, di samping perkhidmatan pembiayaan mampan yang biasa, termasuk pinjaman berkaitan kemampanan atau bon hijau.
Tawaran oleh bank-bank Singapura mengikuti bank sedunia lain seperti Citi, Goldman Sachs, JPMorgan dan Barclays, yang juga telah membina kemudahan perdagangan dan kewangan karbon.
HSBC, bagaimanapun, telah meninggalkan rancangan untuk menubuhkan pasukan seperti itu, menurut laporan Bloomberg pada November 2024.
Walaupun saiz pasaran sukarela masih kecil iaitu AS$1.4 bilion ($1.91 bilion) menurut penyedia indeks MSCI – berbanding pasaran bon mampan yang menghampiri AS$1 trilion – bank yang berjaya mendapat peluang dan membina keupayaan dalam ruang ini akan mencipta kelebihan daya saing untuk syarikat mereka sebagai perantara yang dipercayai, kata pemerhati pasaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg