Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura ramal pelepasan gas rumah hijau paling tinggi pada 2028

Akan cecah 64.43j tan sebelum menurun selepas itu
Nov 12, 2024 | 6:22 PM
Pelepasan gas rumah hijau Singapura diramalkan  mencapai 62.21 juta tan etara CO2 (CO2 eq) pada 2025.
Pelepasan gas rumah hijau Singapura diramalkan mencapai 62.21 juta tan etara CO2 (CO2 eq) pada 2025. - Foto ST

Singapura meramalkan pelepasan gas rumah hijaunya mencecah jumlah tertinggi 64.43 juta tan pada 2028, sebelum berkurangan selepas itu.

Garis masa bagi pelepasan gas rumah hijau Singapura mencapai puncaknya itu didedahkan buat kali pertama dalam laporan ketelusan dwitahunan negara ini.

Laporan itu diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 November, hari Persidangan Iklim PBB COP29 di Baku, Azerbaijan, bermula, lapor The Straits Times.

Singapura sebelum ini menyatakan bahawa ia menyasarkan mencapai pelepasan gas rumah hijau tertinggi “antara 2025 dan 2028”, berjumlah sekitar 65 juta tan sebelum ia berkurangan kepada sekitar 60 juta tan menjelang 2030.

Itu adalah sasaran yang Singapura tetapkan di bawah Perjanjian Paris. Namun ketika sasaran itu diumumkan pada Oktober 2022, tiada garis masa diberi mengenai bila pelepasan karbon di negara ini akan mencapai kemuncaknya.

Pada November 2022, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, memberitahu Parlimen bahawa Singapura menyasarkan pelepasannya mencapai kadar tertinggi “antara 2025 dengan 2028”.

Dalam laporan terkini yang dihantar kepada PBB, Singapura menyatakan bahawa ia meramalkan pelepasan gas rumah hijau nasionalnya memuncak pada 2028 di bawah senario “langkah-langkah diambil” – bermakna usaha diambil untuk mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau dalam pelbagai sektor, termasuk sektor tenaga dan perindustrian.

Pada 2022, pelepasan gas rumah hijau Singapura berjumlah 58.59 juta tan persamaan dengan karbon dioksida (CO2 eq), meningkat daripada 58.29 juta tan pada 2021 dan 53.87 juta tan pada 2020. 

CO2 eq adalah istilah yang digunakan untuk mengukur jumlah keseluruhan gas rumah hijau yang dilepaskan.

Di bawah Perjanjian Paris, negara-negara boleh bekerjasama untuk mencapai sasaran perubahan iklim mereka melalui pasaran karbon antarabangsa, seperti pembelian kredit karbon.

Satu kredit karbon mewakili satu tan pelepasan gas rumah hijau, dan di bawah Perjanjian Paris, Singapura layak membeli kredit karbon dari negara lain bagi menampung jejak karbon mereka.

Laporan itu meramalkan pelepasan gas rumah hijau meningkat kepada 62.21 juta tan CO2 eq menjelang 2025, tetapi dengan penggunaan kredit karbon, angka itu boleh dikurangkan kepada 59.7 juta tan.

Menjelang 2028, pelepasan gas rumah hijau dijangka mencapai 64.43 juta tan, tetapi ia boleh dikurangkan kepada 61.92 juta tan dengan kredit karbon.

Menjelang 2030, Singapura menyasarkan pengurangan kepada 60 juta tan CO2 eq.

Cik Melissa Low, pemerhati dasar iklim di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata garis masa pelepasan gas rumah hijau itu penting kerana ia menunjukkan bahawa Singapura merancang mencapai kemuncak pelepasan sebelum 2030.

“Ini menunjukkan bahawa sektor-sektor yang menghasilkan pelepasan karbon di sini mempunyai lebih banyak masa melakukan peralihan (kepada sumber teknologi yang lebih bersih),” katanya.

Beliau menekankan tentang isu ketidakpastian mengenai penggunaan kredit karbon untuk mencapai sasaran iklim, terutama mengenai pihak yang akan menanggung kos – syarikat atau pemerintah.

Cik Low turut menyuarakan kebimbangan mengenai pasaran kredit karbon antarabangsa, dengan merujuk kepada isu yang berterusan di COP29 dan keperluan perlindungan dalam transaksi kredit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg