Buat julung kalinya di Singapura, syarikat kenderaan autonomi (AV), WeRide, telah diberi kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan bas ulang-alik tanpa pemandu di Resorts World Sentosa (RWS), tanpa kakitangan keselamatan dalam bas.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberi ‘lampu hijau’ kepada syarikat tersebut selepas ujian menyeluruh dan penilaian keselamatan terhadap operasi jarak jauh dan prestasi bas tersebut di jalan raya, menurut syarikat itu pada 17 Julai.
WeRide, yang berpangkalan di Guangzhou, China, menyatakan ini juga kali pertama di Asia Tenggara, AV diberi kebenaran untuk beroperasi tanpa pegawai keselamatan dalam bas.
Bas tanpa pemandu dengan lapan tempat duduk itu dilengkapi kemudahan kamera dan sensor pengesanan cahaya dan jarak atau Lidar.
Ia sudah pun melakukan perjalanan di laluan tetap, yang mengambil masa 12 minit di kawasan pusat peranginan bersepadu RWS sejak Jun 2024.
Menurut syarikat itu, ia telah melakukan ribuan perjalanan dan membawa puluhan ribu penumpang tanpa sebarang kemalangan.
Pada Januari, WeRide dibenarkan menanggalkan stereng dan pedal daripada kenderaan tersebut.
Namun, seorang pegawai keselamatan masih diwajibkan berada di dalam bas untuk mengambil alih kawalan bas, sekiranya berlaku kecemasan.
Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Antarabangsa WeRide, Cik Jennifer Li, menyifatkan tindakan meniadakan pegawai keselamatan di dalam bas itu sebagai satu “pencapaian penting” bagi masa depan pengangkutan di rantau ini.
“Penggunaan bas robotik tanpa pemandu sepenuhnya, yang pertama di rantau ini, menunjukkan bahawa kenderaan kami selamat, boleh dipercayai dan bersedia mengubah pengangkutan awam secara besar-besaran,” tambah Cik Li.
Pengumuman WeRide pada 17 Julai dibuat ketika Singapura bersiap sedia untuk memperluas penggunaan AV bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan awam.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, memberitahu wartawan semasa lawatannya ke Guangzhou pada akhir Jun bahawa bas berautonomi akan diperkenalkan secara berperingkat di Singapura.
Beliau turut menyatakan bahawa AV bakal diuji di Punggol seawal suku keempat 2025, menjadikan Punggol estet kejiranan pertama untuk menikmati khidmat sedemikian.
Pada peringkat awal, kenderaan tersebut tidak akan membawa penumpang sehingga penduduk dan pengguna jalan raya berasa lebih selesa dengannya.
Bas ulang-alik tanpa pemandu diharap dapat membawa penumpang menjelang akhir 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg