Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOT akan terus sediakan lebih banyak pilihan mobiliti buat rakyat

Jul 10, 2025 | 4:42 PM
Jeffrey Siow, pengangkuta, Singapura
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (kiri), menaiki bas tanpa pemandu bersama Ketua Eksekutif WeRide, Encik Tony Han (sebelah Encik Siow), dan pengurus besar WeRide Singapore, Encik Kerry Xu, semasa lawatan beliau ke Guangzhou, China pada Jun 2025. Encik Siow, sebelum ini, menjelaskan pemerintah merancang untuk mengerahkan lebih banyak kenderaan autonomi (AV) tanpa pemandu di jalan raya sekitar Singapura dalam tempoh lima tahun mendatang. - Foto MOT

Sistem pengangkutan akan menjadi lebih kukuh apabila setiap orang menyumbang pandangan mereka, namun dalam beberapa bidang, isunya tidak begitu jelas dan mudah, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Contohnya, apabila laluan bas baru direka, lebih banyak perhentian bas akan menyediakan kebolehcapaian lebih luas kepada orang ramai, namun ini akan mengakibatkan penumpang melalui perjalanan yang lebih lama.

Satu lagi contoh adalah berhubung kereta sewa privet (PHV), yang menyediakan pekerjaan buat pemandu warga Singapura dan menawarkan akses dari tempat ke tempat kepada mereka yang tidak memiliki kereta, atas dasar bayaran yang dikenakan bagi setiap penggunaan.

Namun, satu lagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang dikhususkan untuk PHV bererti kurang satu lagi COE untuk pemilik kereta privet, kata Encik Siow.

Beliau berkata pemerintah terbuka mendengar pandangan dan maklum balas orang ramai mengenai sistem pengangkutan, namun tidak selalu mungkin dapat memuaskan hati semua orang.

“Di Singapura yang kekurangan tanah, hampir setiap keputusan pengangkutan melibatkan keseimbangan dan keutamaan yang bersaing,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada 10 Julai.

“Dan sementara saya boleh menjelaskan rasional di sebalik apa yang kami lakukan, akan sentiasa terdapat orang yang mempunyai pandangan berbeza, terutamanya apabila kepentingan peribadi mereka dipertaruhkan.

“Namun, pilihan yang sukar adalah sebahagian daripada tugas ini. Tetapi daripada tertumpu pada membahagikan dan memperuntukkan sumber terhad, pendekatan lebih baik adalah dalam mengembangkan apa yang kita ada,” tambah beliau.

Encik Siow berkata pada dasarnya, peranan Kementerian Pengangkutan (MOT) adalah untuk mewujudkan lebih banyak pilihan mobiliti untuk setiap rakyat, dan pemerintah telah memperluaskan pilihan pengangkutan awam sepanjang sedekad lalu.

Ini termasuk membina laluan kereta api baru, melaksanakan lebih banyak khidmat bas dan menyediakan lebih banyak laluan berbasikal.

Ini juga sebabnya mengapa kenderaan autonomi (AV), atau kenderaan tanpa pemandu, adalah penting untuk masa depan, kata Encik Siow.

Beliau memberi contoh bagaimana AV telah “secara radikal” mempertingkat operasi pelabuhan di Pelabuhan Tuas, sambil menambah perkara sama boleh dilakukan untuk pengangkutan darat.

Dalam jangka masa terdekat, AV boleh menambahkan kapasiti khidmat bas pengantara, atau khidmat bas dalaman, dengan membawa jumlah penumpang yang kecil langsung ke stesen MRT dan tempat-tempat dalam estet kejiranan.

Sementara itu, dalam jangka masa panjang pula, Encik Siow berkata AV boleh dikerahkan bagi khidmat seperti bas malam atau bas ulang-alik dari estet privet yang tidak dapat dilaksanakan hari ini dek kekurangan pemandu.

Baru-baru ini, semasa lawatan ke Guangzhou, China, Encik Siow telah mengumumkan bahawa AV bakal diuji di Punggol seawal suku keempat 2025, sekali gus menjadikan Punggol estet kejiranan pertama untuk menikmati khidmat sedemikian.

Beliau berkata ia akan mengambil masa sebelum AV dapat dilihat di mana-mana, namun negara ini memerlukan permulaan untuk melakukan ujian teknikal dan membiasakan orang ramai dengan kewujudan AV.

“Sebagai Menteri, tugas saya adalah untuk menetapkan hala tuju dan rentak di mana kami mencapai visi pengangkutan saya di Singapura.

“Saya juga mengambil idea dan memperhalusi rancangan kami sepanjang perjalanan. Prinsip panduan saya adalah untuk memastikan kebaikan terhebat untuk sebilangan besar orang,” kata beliau.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mengembangkan mobiliti, dan memastikan sistem pengangkutan kita berfungsi – udara, darat dan laut – dan merupakan sesuatu yang dibanggakan rakyat Singapura,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg