Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bil hospital di S’pura naik susuli lonjakan harga ubat, implan

Mar 19, 2025 | 5:17 PM
Kajian mendapati bahawa Singapura kekal sebagai salah satu negara di Asia-Pasifik dengan unjuran inflasi perubatan 2025 yang lebih rendah berbanding purata serantau.
Kajian mendapati bahawa Singapura kekal sebagai salah satu negara di Asia-Pasifik dengan unjuran inflasi perubatan 2025 yang lebih rendah berbanding purata serantau. - Foto ZAOBAO

Analisis terkini mengenai inflasi penjagaan kesihatan di Singapura mendapati bahawa komponen implan dan ubat, yang termasuk dalam kategori ‘yuran lain’, telah meningkat dengan mendadak. 

Kategori ini juga merangkumi ujian makmal, caj prosedur wad, kos preskripsi dan rawatan harian.

Kajian oleh Sekolah Kesihatan Awam Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Mac lalu meninjau tuntutan hospital awam dan swasta dari lima pengendali Pelan Perlindungan Bersepadu (IP), antara 2016 hingga 2020, lapor The Straits Times (ST).

Hasilnya, lima komponen lain seperti yuran pembedahan dan bius, kos bahan habis pakai, caj bilik dan makanan, serta kemudahan untuk terapi kekal stabil.

Sebagai contoh, tuntutan yuran pembedahan menurun dan menyumbang kurang dari suku bil hospital. Inflasi perubatan global, termasuk kos teknologi baru, turut menyumbang kepada kenaikan kos. 

Namun, Singapura kekal dengan unjuran inflasi perubatan 2025 lebih rendah berbanding purata Asia-Pasifik. Kajian NUS pula mendapati bil purata hospital meningkat pada kadar 4.8 peratus setahun, antara 2016 hingga 2020.

Bil hospital tahunan purata untuk setiap individu yang membuat tuntutan meningkat pada kadar 5.8 peratus setahun antara 2016 hingga 2020. 

Beberapa pemain IP melaporkan inflasi perubatan yang ketara, antara 2020 hingga 2024, terutamanya pada 2023 dan 2024, selepas pandemik Covid-19 apabila rawatan kembali berjalan sepenuhnya. 

Rata-rata bil hospital (awam dan privet) yang diterima, antara 2020 hingga 2024, menunjukkan peningkatan, dengan kenaikan antara satu digit hingga lebih 20 peratus. 

Mereka mengatakan bahawa inflasi perubatan meningkat disebabkan oleh penggunaan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan bil lebih banyak, terutamanya dalam dua tahun terakhir.

Ini disebabkan peningkatan kekerapan tuntutan, populasi yang menua, pengesanan penyakit lebih awal, dan lebih banyak kecederaan akibat sukan dan gaya hidup aktif.

Tuntutan IP dijangka terus meningkat kerana populasi Singapura yang semakin menua.

Menurut Persatuan Aktuari Singapura (SAS), kadar kemasukan hospital meningkat kira-kira empat peratus setiap tahun bagi pesakit berumur 40 hingga 65 tahun, dan enam peratus selepas 65 tahun.

Kos rawatan semakin meningkat dengan tempoh tinggal yang lebih lama. SAS menjelaskan kenaikan ini akan mempengaruhi premium insurans perubatan di masa hadapan, sebelum inflasi perubatan berlaku.

Namun, WTW meramalkan kos insurans perubatan di Singapura akan stabil pada 12 peratus pada 2025, tetapi kos ini dijangka kekal tinggi dalam jangka panjang.

Inflasi perubatan di negara-negara seperti Indonesia, Filipina dan Thailand dijangka lebih tinggi, antara 14.2 peratus hingga 19.4 peratus. Rantau Asia-Pasifik dijangka mencatat inflasi perubatan tertinggi di dunia pada 12.3 peratus pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg