Lagi 13,600 katil hospital dan rumah penjagaan akan ditambahkan ke dalam sistem penjagaan kesihatan Singapura dari 2025 hingga 2030, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Ini termasuk sekitar 2,800 katil di hospital akut dan masyarakat awam yang akan ditambahkan di Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Besar Sengkang, dan Woodlands Health.
“Ini akan meningkatkan jumlah katil hospital awam daripada 12,000 hari ini kepada 15,000 pada 2030 – peningkatan 25 peratus,” kata Encik Ong semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH) di Parlimen pada 7 Mac.
Pusat Penjagaan Elektif SGH baru, yang akan dibuka menjelang 2027, akan mempunyai 300 katil, manakala CGH pula akan dinaik taraf dan menambah 160 katil menjelang 2027.
Hospital Besar Sengkang akan menambah sekitar 140 katil secara bertahap-tahap mulai 2026, sementara Woodlands Health pula akan menambah hampir 400 lagi katil menjelang 2030.
Kapasiti dipertingkat itu juga akan merangkumi katil di Hospital Alexandra yang akan dibangunkan semula dan akan dibuka secara bertahap-tahap mulai 2028, meningkatkan kapasiti keseluruhan katil kepada 1,300 apabila ia dibuka sepenuhnya.
Kampus Hospital Besar Timur (EGH) baru di Bedok North pula, yang akan dibuka secara bertahap-tahap mulai 2029, akan menambahkan sekitar 1,400 katil apabila dibuka sepenuhnya.
Sementara itu, Hospital Masyarakat St Andrew akan menubuhkan sebuah hospital masyarakat baru yang menyediakan penjagaan pemulihan dan peralihan di Bedok pada 2025.
Sebanyak 240 katil akan disediakan, dengan 140 daripadanya adalah katil Kemudahan Penjagaan Peralihan baru.
Pemerintah juga akan menambahkan sekitar 10,600 katil di rumah penjagaan menjelang 2030.
Encik Ong menambah bahawa dalam dekad seterusnya dari 2030 hingga 2040, Hospital Besar Tengah baru akan dibuka, dan kampus SGH dan kampus Kent Ridge Hospital Universiti Nasional (NUH) akan menjalani kerja pembangunan semula besar untuk meningkatkan lagi prasarana.
Dalam dunia pasca-Covid-19, Encik Ong berkata Singapura, seperti banyak negara di dunia, menyaksikan lebih ramai warga emas yang mengalami keadaan perubatan yang rumit.
Dalam pada itu, purata tempoh tinggal di hospital telah melonjak secara mendadak dari enam hari kepada tujuh hari selepas pandemik, iaitu peningkatan 15 peratus dalam beban kerja untuk hospital.
“Lebih teruk lagi, Covid-19 menangguhkan pembangunan prasarana kita. Kami telah mengejar masa dalam pembangunan prasarana.
“Usaha memperluaskan kapasiti, bagaimanapun, tidak bermakna hanya membina hospital. Kita memerlukan kapasiti bijak – merentasi spektrum keperluan penjagaan, terutamanya dalam masyarakat.
“Hanya dengan itu akan kita dapat memberikan penjagaan paling sesuai untuk jenis pesakit yang berbeza,” kata beliau.
Sepanjang lima tahun lalu, Singapura telah memperluaskan kapasiti dengan menambahkan lebih 6,300 katil, termasuk lebih 1,200 katil hospital akut dengan pembukaan Woodlands Health dan hospital lain.
Program Mobile Inpatient Care@Home – yang merawat pesakit stabil di rumah – pula melancarkan 200 katil.
Sebanyak 600 katil hospital masyarakat juga ditambah, termasuk di Kampus Woodlands Health dan Hospital Tan Tock Seng-Hab Penjagaan Bersepadu.
Sementara itu, lebih 10 rumah penjagaan dibuka, menambahkan lebih 4,300 katil.
“Kapasiti ini membuat perbezaan besar. Dengan Woodlands Health, masalah kapasiti di Hospital Khoo Teck Puat akhirnya berkurang selepas bertahun-tahun.
“Kadar penggunaan katil telah turun daripada 100 peratus biasanya kepada 85 peratus sekarang. Masa menunggu purata justeru telah berkurang,” kata Encik Ong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg