NEW YORK: Orang terkaya di dunia menambah sebanyak AS$304 bilion ($407.45 bilion) kepada gabungan nilai bersih kekayaan mereka pada 9 April – keuntungan terbesar dalam sehari dalam sejarah Indeks Jutawan Bloomberg – apabila pasaran saham melonjak selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berjanji akan menangguhkan buat sementara tarif ke atas beberapa rakan dagangannya.
Indeks S&P 500 melonjak paling tinggi sejak 2008 berikutan pengumuman mengejutkan oleh Encik Trump itu pada tengah hari, membalikkan kerugian besar sejak beberapa hari lalu dan meningkatkan kekayaan 500 orang terkaya di dunia dengan purata 3.5 peratus.
Indeks Komposit Nasdaq juga melantun, meningkat paling tinggi dalam tempoh lebih 24 tahun.
Hari yang memecah rekod itu datang selepas kemerosotan pasaran minggu lalu berikutan pengumuman tarif Encik Trump.
Keluasan levi yang dicadangkan itu telah melebihi jangkaan kebanyakan penganalisis dan memberikan kerugian kekayaan terbesar sejak Bloomberg memulakan indeksnya pada 2013.
Keuntungan berterusan ke waktu dagangan Asia pada 10 April apabila saham rantau itu mencatatkan lonjakan terbesar dalam tempoh lebih dua tahun.
Jumlah keuntungan kekayaan pada 9 April mengatasi rekod sebelumnya sebanyak AS$233 bilion yang dicatatkan pada Mac 2022, selepas pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika, Encik Jerome Powell, menaikkan kadar faedah buat kali pertama dalam beberapa tahun tetapi meyakinkan pelabur bahawa ekonomi kekal berdaya tahan.
Individu yang meraih keuntungan terbesar pada 9 April ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk, yang menambah AS$36 bilion kepada kekayaannya apabila saham pengeluar kenderaan elektrik itu melonjak 23 peratus, diikuti oleh Encik Mark Zuckerberg daripada Meta Platforms, yang memperoleh hampir AS$26 bilion.
Encik Jensen Huang daripada Nvidia menyaksikan kekayaannya meningkat AS$15.5 bilion apabila saham pembuat cip itu melantun semula sebanyak 19 peratus, hampir mengimbangi kemerosotan 13 peratusnya dalam tempoh seminggu hingga saham ditutup pada 8 April.
Encik Ernest Garcia III, CEO Carvana, adalah pemenang terbesar hari itu berdasarkan peratusan: Kekayaannya meningkat 25 peratus apabila lonjakan saham peruncit kereta terpakai itu menambah kekayaannya sebanyak AS$1.4 bilion.
Dalam dagangan pagi 10 April, jutawan di Asia turut merah keuntungan.
Pengerusi SoftBank Group, Encik Masayoshi Son, menambah AS$1.7 bilion kepada kekayaannya yang berjumlah AS$11.7 bilion.
Kekayaan wanita kedua terkaya di China, Cik Zhou Qunfei, melonjak 14.3 peratus kepada AS$9.5 bilion.
Antara mereka yang meraih untung terbanyak, Encik Tadashi Yanai daripada Uniqlo memperoleh AS$3.5 bilion apabila kekayaannya meningkat kepada AS$47 bilion.
Pengerusi firms pembuat kasut, Huali Industrial Group, Encik Zhang Congyuan, menyaksikan kekayaannya melonjak 12.9 peratus kepada AS$8 bilion. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg