Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BT rai individu, niaga di sebalik 60 tahun kemakmuran ekon S’pura

Aug 13, 2025 | 4:03 PM
BT, SG60, kemakmuran ekon S’pura
Majlis makan malam gala ‘Singapore Stories’ dihadiri (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit; Ketua Pegawai Operasi (COO) Marina Bay Sands (MBS), Encik Paul Town; Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Pengerusi SPH Media, Encik Khaw Boon Wan; Naib Presiden Kanan MBS bagi Komunikasi dan Ehwal Korporat, Encik Nicholas Ionides; dan Editor The Business Times (BT), Cik Chen Huifen. - Foto BT

Transformasi luar biasa Singapura daripada sebuah kampung nelayan kepada pusat kewangan bertaraf Dunia Pertama banyak disumbangkan oleh ekosistem syarikat tempatan dan pelbagai syarikat berbilang negara yang menjadikan negara ini sebagai rumah mereka.

The Business Times (BT) meraikan kisah kejayaan itu dengan meriah pada 12 Ogos dalam majlis makan malam gala, Singapore Stories, di Marina Bay Sands yang dihadiri lebih 400 tetamu termasuk ahli politik, tokoh industri, pemimpin perniagaan serta diplomat.

Acara yang disokong oleh Temasek itu merupakan penghormatan kepada masyarakat perniagaan Singapura yang dinamik, mengiktiraf pencapaian mereka yang diperolehi dengan susah payah serta komitmen dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas keupayaan industri dan memupuk inovasi.

Dalam ucaptamanya, Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menekankan bahawa BT telah memainkan peranan penting dan berterusan dalam menceritakan kisah ekonomi Singapura.

“Sejak penubuhannya pada 1976, BT bukan sekadar sebuah akhbar kewangan harian. 

“Ia berperanan sebagai pemeriksa fakta, pencerita, perantara dan pemangkin yang membentuk perbincangan, meraikan kecemerlangan serta mengukuhkan fungsi pasaran dengan memberi (pembaca) akses kepada maklumat.

“Selain daripada laporan tepat pada masanya mengenai perkembangan sejagat seperti tarif Amerika Syarikat dan pandemik Covid-19, BT terus menyediakan laporan terperinci dan bermaklumat yang menerangkan peranan syarikat utama dalam ekonomi kita serta membantu menyebarkan mesej lebih luas seperti ketahanan rantaian bekalan dan peralihan tenaga,” kata Cik Fu.

Menyerlahkan usaha BT dalam meraikan kecemerlangan melalui anugerah yang diberi kepada individu dan syarikat, Cik Fu menambah penerbitan itu sentiasa berinovasi bagi memastikan ia kekal relevan.

Ini dapat dilihat melalui Anugerah Kesan Kemampanan BT, yang mengiktiraf individu dan syarikat di Singapura yang menunjukkan kepimpinan dalam usaha kemampanan.

Begitu juga, Anugerah Reka Bentuk Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi, yang bertujuan menggalak pereka baru daripada syarikat pemula dan perniagaan untuk memanfaatkan reka bentuk dan teknologi dalam menangani cabaran perniagaan.

Cik Fu turut menyenaraikan empat lagi anugerah tahunan yang dianjurkan BT, iaitu Anugerah Perniagaan Singapura, Anugerah Korporat Singapura, Anugerah Perusahaan 50 dan Anugerah Perusahaan Muda.

“Anugerah-anugerah ini bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan, malah menjadi pendorong kepada tindakan. Ia menandakan nilai yang dihargai oleh masyarakat perniagaan serta kemajuan yang menjadi aspirasi kita,” jelasnya.

Selain laporan dan anugerah, BT turut memperluas wadahnya dengan memupuk kecelikan kewangan, atau financial literacy dalam kalangan belia melalui program Thrive.

Ia juga terus melibatkan masyarakat teknologi serantau dan syarikat pemula menerusi kerjasama dengan penerbit berita teknologi serantau, Tech in Asia (TIA), tambah Cik Fu.

“Bagi segala usaha ini, BT layak menerima penghargaan kita – bukan sahaja kerana ia merakam perjalanan ekonomi Singapura, malah kerana ia membentuk nilai, hubungan dan aspirasi masyarakat perniagaan kita,” kata Cik Fu dalam penutup ucaptama beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg