Sebuah jawatankuasa pemerintah baru ditubuhkan untuk menggunakan teknologi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan telah mula berbincang dengan perniagaan mengenai cara memperluaskan dan memperdalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Perbincangan itu akan membantu mengenal pasti jumlah pengguna AI yang kritikal bagi Singapura untuk mempercepatkan pertumbuhan ekosistem perniagaan, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 11 Ogos.
“Salah satu perkara yang saya percaya akan diteliti oleh jawatankuasa semakan ini adalah bagaimana penerimaan AI dapat diperluaskan dan diperdalam,” katanya semasa lawatan ke pusat AI PwC di Marina One pada 11 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi adalah salah satu daripada lima jawatankuasa di bawah Semakan Strategi Ekonomi yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 4 Ogos untuk merangka pelan jangka panjang bagi memastikan peluang berkualiti untuk perniagaan dan pekerja Singapura.
Semakan itu adalah sebahagian daripada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT), yang ditubuhkan pada awal 2025 untuk membantu perniagaan dan pekerja yang terkesan oleh ketidakpastian akibat tarif Amerika Syarikat ke atas barangan Singapura.
Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi – yang diterajui Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan – juga akan menilai bilangan individu yang menguasai kemahiran dan menjadi pengguna AI yang berkesan dalam bidang masing-masing, kata Cik Teo.
“Salah satu soalan penting adalah, adakah tenaga kerja boleh memperoleh kemahiran untuk lebih bersedia menghadapi masa depan?” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai kebimbangan AI yang mungkin menjejas pekerjaan, Cik Teo berkata, berdasarkan lawatan ke syarikat-syarikat, mereka yang memiliki kemahiran AI lebih berkemungkinan menggantikan pekerja tanpa kemahiran berbanding AI menggantikan manusia.
Beliau menambah, perniagaan yang mengintegrasikan AI dalam operasi mereka lebih berkemungkinan memberikan perkhidmatan yang lebih baik serta meningkatkan produktiviti dan keuntungan.
Menurut Cik Teo, yang mengetuai salah satu aliran kerja SERT untuk memperkukuh komunikasi antara pemerintah, perniagaan, dan pekerja, kerja Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi itu dibina atas inisiatif seperti Negara Bijak 2.0 dan Strategi AI Negara.
Semasa lawatan mereka pada 11 Ogos ke Pusat AI PwC – yang dibuka pada Januari – Cik Teo dan Cik Goh memerhatikan bagaimana teknologi AI digunakan dalam bidang seperti operasi penghantaran dan pemfailan cukai.
Cik Goh berkata faedah teknologi tidak seharusnya hanya untuk mereka yang mempunyai sumber, bahkan perniagaan secara keseluruhannya.
“Adalah penting bagi kami bertemu dengan syarikat-syarikat bagi memahami konteks mereka, masalah yang dihadapi, dan mencari cara menyokong mereka,” katanya.
Syarikat besar boleh membangunkan penyelesaian dalaman, manakala firma kecil boleh diberi akses kepada penyelesaian siap pakai yang mampu milik, ujar Cik Goh.
Beliau menambah, strategi membantu firma dengan AI boleh diubah suai daripada inisiatif seperti Program Transformasi Digital SME yang menggalakkan penggunaan teknologi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg