Anugerah Reka Bentuk AI dan Teknologi, atau ‘Design AI and Tech Awards’, adalah anugerah baru yang diperkenalkan dengan harapan Singapura akan muncul sebagai sebuah pusat perbincangan serta tempat merintis inovasi baru.
Anugerah itu dianjurkan bersama oleh The Business Times (BT) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) – yang merupakan salah satu daripada enam universiti berautonomi di Singapura, dan berperanan sebagai rakan kongsi pengetahuan untuk anugerah tersebut.
Edisi pertamanya akan berlangsung pada 2025 dan permohonan sudah dibuka.
Dalam temu bual bersama BT, Profesor Tai Lee Siang, timbalan presiden SUTD dan ketua pegawai inovasi serta perusahaan, berkata pandemik Covid-19 membuktikan bahawa masalah dunia kini tidak lagi berskala nasional, tetapi berskala global.
Berdasarkan konteks itu, beliau menambah bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan anugerah yang mengiktiraf usaha penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk dan inovasi.
Profesor Tai juga menjelaskan bahawa AI adalah alat yang sangat cekap yang mampu menyelesaikan masalah dengan cepat, terutama yang sukar difahami atau yang memakan masa jika dihuraikan manusia.
“Kami berharap dapat melihat Singapura muncul sebagai hab untuk perbincangan, reka cipta, dan juga merintis inovasi baru melalui gabungan unik reka bentuk dan AI,” kata Profesor Tai.
Anugerah itu terbuka kepada syarikat dari semua negara, terutama syarikat kecil dan sederhana (SME), syarikat pemula dan syarikat besar.
Setiap jenis syarikat itu, menurut Profesor Tai, dapat membentangkan huraian berbeza bagi cabaran yang mereka hadapi – SME boleh memanfaatkan AI untuk berkembang di peringkat serantau, syarikat besar dapat mempamerkan penggunaan AI yang memberi impak pada perniagaan, dan syarikat pemula dapat membangunkan produk yang unik di pasaran dengan bantuan AI.
Editor BT, Cik Chen Huifen, menekankan bahawa untuk AI diterima, adalah penting bagi usahawan dan ketua perniagaan melihat cara AI diaplikasikan secara praktikal.
“Dan inilah matlamat Anugerah Reka Bentuk AI dan Teknologi – untuk menonjolkan nilai dan kegunaan AI dalam menyelesaikan masalah, supaya lebih ramai orang dan syarikat dapat melihat potensi AI, lebih banyak perbincangan dapat dijalankan, dan kepercayaan dapat dibina,” tambah Cik Chen.
Anugerah itu mempunyai tiga kategori: Reka Bentuk Produk, Reka Bentuk Sistem, dan Reka Bentuk Spatial.
Penyertaan cemerlang akan dijemput untuk membentangkan idea mereka di acara pembentangan, dengan hadiah utama ditawarkan bagi setiap kategori.
Permohonan untuk Anugerah Reka Bentuk AI dan Teknologi akan ditutup pada 31 Disember 2024. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web BT.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg