Sebuah program inovasi sosial yang pertama seumpamanya dilancarkan pada 5 November bagi memberi peluang kepada golongan belia bekerjasama untuk menghasilkan huraian bagi menangani keperluan masyarakat di peringkat daerah.
Dinamakan South West Community Inno Lab, program itu akan membolehkan belia dari sembilan Institut Pengajian Tinggi (IHL) saling bekerjasama buat julung-julung kalinya, sekali gus memupuk peluang pembelajaran yang lebih bersifat terangkum dan memberi kesan dalam projek berpusatkan masyarakat.
Mereka juga akan bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi, agensi perkhidmatan sosial, agensi pemerintah, hospital, pusat khidmat keluarga dan rakan kongsi lain.
Dengan cara itu, pelajar tersebut, secara bersama-sama, akan dapat menghasilkan penyelesaian praktikal untuk menangani isu-isu harian yang dikenal pasti oleh rakan kongsi masyarakat.
Bidang tumpuan termasuk ekonomi, kesihatan, sosial, kemampanan, prasaran dan reka bentuk, masalah kurang upaya dan kesejahteraan mental.
Menteri Pembangunan Negara dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC West Coast, Encik Desmond Lee, menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South West dengan sembilan IHL itu.
Turut hadir dalam acara yang diadakan di Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu ialah Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West.
Program tersebut akan diadakan di sembilan IHL – Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat; Universiti Teknologi Nanyang (NTU); Universiti Nasional Singapura (NUS); Politeknik Ngee Ann (NP); University Pengurusan Singapura (SMU); Politeknik Singapura (SP); Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS); Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Universiti Seni Singapura (UAS)
Daya usaha tersebut menandakan kerjasama pertama antara IHL dalam menyediakan pembelajaran praktikal dan pengalaman penyelesaian masalah bagi menangani cabaran dunia sebenar.
Ia melangkaui akademik, yang membolehkan pelajar meneroka pendekatan antara disiplin untuk khidmat masyarakat.
Melalui bimbingan, pembiayaan dan sesi sumbang saran berstruktur, golongan muda diberi kuasa membangunkan projek bagi meningkatkan kesejahteraan dan kemampanan dalam masyarakat.
Antara projek yang sedang dijalankan termasuk program kesihatan dan kesejahteraan untuk warga emas, bengkel kesihatan mental, kempen kemampanan dan perusahaan sosial yang dipacu teknologi.
Sambil menekankan kepentingan penyelesaian masalah secara kolektif dalam menangani isu sosial yang kompleks, Encik Lee berkata:
“South West Community Inno Lab akan berfungsi sebagai ruang di mana idea dan sumber kolektif bersatu untuk memacu perubahan positif.”
Cik Low menambah bahawa wadah tersebut juga akan membantu memupuk pemimpin muda yang empati yang dilengkapi untuk memberi impak yang bermakna dalam dunia nyata.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg