Bungkusan setiap helai hijab yang dibalut rapi dengan kertas coklat – siapa sangka sentuhan sederhana itu bakal membuka laluan masa depan Cik Fathanah Suhairi, 32 tahun, sebagai seorang usahawan.
Pada usia 17 tahun, beliau sekadar menyiapkan tugasan e-dagang bagi kursus Higher Nitec dalam Pengurusan Perkhidmatan di Institut Teknologi Pendidikan (ITE) Kolej Barat.
Namun tanpa disedarinya, pengalaman itu menjadi benih yang akhirnya menyemarakkan jenama tudungnya sendiri, Tashkila.
“Daripada projek itu, saya dapat mempelajari asas keusahawanan, iaitu mengutamakan pengalaman positif bagi setiap pelanggan.
“Saya mendapati pelanggan suka sentuhan peribadi itu, dan saya pula seronok melalui proses menghasilkan sesuatu yang benar-benar milik saya,” ujar beliau.
Tugasan kelas itulah yang menyalakan minatnya sehingga ke hari ini, dan menjadi salah satu kenangan paling bermakna sepanjang pengajiannya di ITE, kata beliau.
Kisah keusahawanan seperti Cik Fathanah dirakamkan dalam buku Memberi Inspirasi kepada Usahawan Masa Depan atau Inspiring Tomorrow’s Entrepreneurs, yang menampilkan 60 bekas pelajar ITE yang kini digelar sebagai usahawan.
Buku setebal 82 halaman itu dilancarkan dengan tujuan memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar dan alumni ITE, serta menonjolkan perjalanan mereka daripada projek kecil di kampus kepada perniagaan yang berkembang pesat.
Ia dilancarkan semasa satu acara majlis makan malam Usahawan Alumni Kembali Ke ITE pada 26 November lalu di ibu pejabat ITE.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Selain Cik Fathanah, buku itu turut menampilkan usahawan lain seperti pengasas syarikat perundingan inovasi dan pelaburan Meet Ventures, Encik Mohammed Farhan Mohd Firdaus, yang juga bekas pelajar ITE dalam jurusan Pentadbiran.
Ia turut memuatkan prakata oleh Encik Desmond Lee, yang menekankan peranan penting keusahawanan dalam pembangunan Singapura sebagai sebuah negara bandar moden.
Dalam prakata itu, beliau menyifatkan ITE sebagai “landasan permulaan bagi ramai usahawan yang telah membangunkan perniagaan kepada masyarakat tempatan dan luar negara”.
“Apabila kita melangkah ke era digital, para usahawan yang celik teknologi kini memanfaatkan platform digital dan media sosial untuk mencapai khalayak lebih luas.
“Daripada platform e-dagang hingga penciptaan kandungan, serta penyelesaian pembuatan inovatif…DNA keusahawanan itu kekal konsisten. Mereka telah membuktikan bahawa jenama Singapura mampu bersaing dan berjaya di peringkat global, sambil membawa kualiti, inovasi dan kebolehpercayaan,” ujar beliau.
Antara pengalaman manis Cik Fathanah sebagai pemilik Tashkila termasuk mereka koleksi khas sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan negara, atau SG60.
Setiap tudung dalam koleksi itu direka dengan inspirasi yang diambil daripada setiap kejiranan yang turut dibungkus dalam kotak edisi khas SG60.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Cik Fathanah berkata media sosial memainkan peranan penting dalam mendekatkan jenamanya kepada pelanggan, khususnya dalam landskap perniagaan digital yang semakin kompetitif.
Sejak permulaannya pada 2016, Tashkila kini mempunyai lebih 12,000 pengikut di Instagram, dan lebih ramai lagi di TikTok – sebahagiannya hasil sesi livestream yang dijalankan hampir setiap malam.
Lebih daripada sekadar menjual tudung, sesi itu turut berkongsi tip pemakaian, cadangan padanan warna mengikut tona kulit, serta jenis fabrik yang sesuai untuk pelbagai kegunaan.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan pelanggan mengenali bukan sahaja produk yang dijual, malah dirinya sendiri sebagai pemilik di sebalik jenama tersebut.
Perwatakan ini jauh berbeza daripada sifat dirinya yang, menurut beliau, sememangnya seorang yang pemalu – namun pengalaman praktikal di ITE telah membina keyakinan yang membolehkannya tampil yakin sebagai usahawan hari ini.
“Pada awalnya, saya sangat malu dan kekok di hadapan kamera. Tapi saya paksa diri untuk konsisten. Lama-kelamaan, saya tahu apa yang hendak dikongsi dan cara bertutur dengan yakin.
“Pengalaman dan kemahiran yang saya pelajari di ITE telah membina keyakinan diri saya.
“Ia mengajar saya cara berkomunikasi dengan baik, memahami keperluan pelanggan, dan berani mencuba perkara baru. Ini menjadi asas kepada keberanian dan keyakinan yang saya perlukan sebagai seorang usahawan hari ini,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg