Kalau ditanya apakah ramuan menarik bagi produk penjagaan rambut tempatan, syarikat Native Beauty Ltd, memilih bahan Perubatan Tradisional Cina (TCM) seperti halia kecil Yunnan.
Itulah satu cara jenama MadeToBloom menonjolkan produknya dalam pasaran penjagaan rapi diri yang semakin berdaya saing di Singapura.
Salah seorang pengasas bersama syarikat, Native Beauty Pte Ltd, Cik Belle Maira Alesha Wee, 37 tahun, berkata, berdasarkan pengamatannya, terdapat jurang dalam pasaran.
Menurutnya, bahan tradisional seperti halia kecil Yunnan jarang diolah dalam formulasi moden yang sesuai digunakan setiap hari.
Halia kecil berbeza daripada halia biasa kerana ia mengandungi enzim semula jadi yang lebih tinggi dan sering digunakan dalam perubatan tradisional.
Baunya juga lebih segar dan ringan, menjadikannya sesuai untuk produk seperti syampu, berbanding halia biasa yang lebih tajam dan biasa digunakan dalam masakan.
“Bahan tradisional ada manfaatnya sendiri, terutama halia kecil yang dapat membantu dalam kesihatan rambut dan kulit kepala.
“Kami juga mahu memberi nafas baru dan gabungkan manfaat dan keberkesanan TCM dengan unsur ketenangan aromaterapi,” kata Cik Belle yang mengendalikan syarikat itu bersama dua lagi pengasas bersama iaitu abangnya, Encik Billy Wee, 38 tahun, dan Cik Claire Yeo, 32 tahun.
Native Beauty Ltd memajukan jenama MadeToBloom, yang membawa maksud bahawa setiap individu berpotensi untuk berkembang maju.
“Ia bukan sekadar penjagaan rambut, bahkan juga tentang keyakinan diri dan amalan penjagaan diri secara harian,” jelas Cik Belle, seorang mualaf sejak 2015 dan juga merupakan wajah utama jenama tersebut.
Perniagaan itu dikendalikan dalam talian sejak Jun 2024, dengan menggunakan jenama, MadeToBloom.
Ia mempunyai empat produk penjagaan rambut sejauh ini – syampu, perapi rambut, minyak rambut dan minyak pati rambut – dengan produk utamanya berasaskan halia kecil.
“Halia kecil dikenali sebagai bahan yang meningkatkan peredaran darah pada kulit kepala dan mengurangkan keguguran rambut.
“Keberkesanan produk kami boleh dilihat seawal penggunaan selama tiga minggu, tetapi ia juga berdasarkan keadaan setiap individu,” ujar Cik Belle, ibu tiga anak berusia antara enam bulan dengan lapan tahun.
Menghasilkan syampu berasaskan halia kecil dikatakan bukan sesuatu yang mudah.
“Walaupun berkesan bagi menangani masalah rambut gugur, halia kecil boleh menyebabkan kekeringan dan kegatalan jika tidak diimbangi dengan bahan pelembap.
“Cabaran formulasi syampu ini ialah menjadikan bahan halia berkesan, tetapi juga tidak terlalu kuat sehingga mengeringkan kulit kepada.
“Justeru, kami bekerjasama dengan saintis makmal dan pakar TCM untuk mendapatkan formulasi syampu dengan keseimbangan bahan yang tepat,” ujar Cik Belle, yang sebelum ini bekerja dalam bidang teknologi hartanah.
“Sebab itu kami tambahkan bahan seperti protein oat yang menjalani proses hidrolisis dan minyak aromaterapi untuk menyuburkan dan melembutkan rambut serta tidak mengeringkan kulit kepala.
“Ia gabungan yang baik dengan penjagaan yang menyasarkan masalah tertentu, tetapi tetap selesa digunakan, supaya pengguna rasa seperti berada di spa setiap hari,” tambahnya.
Hidrolisis adalah apabila sebatian bertindak balas dengan air untuk menghasilkan sebatian lain.
Walaupun masih belum genap setahun beroperasi, jenama MadeToBloom sudah menarik ramai pelanggan.
Sehingga 500 botol dapat dijual dalam masa seminggu, menerusi platform dalam talian, penyertaan semasa acara ‘pop-up’ pada hujung minggu, dan wadah jualan langsung di media sosial.
Pada bulan apabila produk syarikat itu laris, ia boleh memperolehi pendapatan sehingga enam angka.
Berkongsi inspirasi di sebalik jenama MadeToBloom, Cik Belle menceritakan bahawa ia tercetus daripada pengalaman peribadinya dan Cik Yeo, khususnya ketika keguguran rambut setelah melahirkan anak.
Dengan pelaburan permulaan $100,000, mereka bertiga mengambil masa lebih lapan bulan menjalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D).
“Kami menjalankan banyak kajian dan tinjauan agar dapat memahami keperluan sebenar pengguna dalam penjagaan rambut.
“Prosesnya melibatkan banyak percubaan (meski kadangkala gagal) dalam menghasilkan sampel, mengujinya dari segi keberkesanan dan keselamatan, serta memastikan ia memenuhi piawaian kesihatan tempatan.
“Kami juga mengujinya dalam keadaan sebenar bersama keluarga dan rakan-rakan untuk melihat keberkesanannya pada pelbagai jenis rambut dan rutin penjagaan rambut seharian,” kata Cik Belle, yang berurusan dengan pengilang produk dari China.
Menurutnya, China sangat ketat dalam kawalan mutu, dan setiap kumpulan produk perlu disahkan dengan sijil lengkap dan diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan di sana, termasuk penyerahan maklumat tentang fungsi dan bahan kandungan.
“Hanya selepas mendapat kelulusan, barulah produk ini dibenarkan untuk dieksport ke luar dari negara itu,” jelas Cik Belle, yang ke China hampir setiap bulan selama seminggu.
Pasaran penjagaan rambut di Singapura sememangnya sangat berdaya saing, dengan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, akui Cik Belle.
Namun begitu, beliau bersama Cik Yeo dan Encik Wee, yakin bahan unik serta pendekatan holistik jenama mereka itu mampu membezakan produk yang dihasilkan daripada pesaing lain.
“Pelanggan kami mahukan huraian yang berkesan (pada masalah rambut mereka), dan juga inginkan rutin penjagaan diri yang senang dan berkesan.
“Kami tidak akan memaksa pelanggan membeli produk kami serta-merta.
“Malah, kami akan memberikan sampel dan jika ia sesuai dan membantu, barulah mereka boleh membeli syampu kami,” ujar Cik Belle, yang mendedahkan bahawa hampir 70 peratus pelanggan mencuba sampel sebelum membeli produknya.
Berbekalkan sambutan positif, MadeToBloom kini merancang meluaskan rangkaian produknya.
Dua pelancaran baru dijangka diperkenalkan mulai September iaitu ‘HydraGlow Lip Salve’, produk bibir yang mengandungi bahan aktif tumbuhan seperti Acmella Oleracea (juga dikenali sebagai ‘botoks semula jadi’), dan ‘Alchemy Age Defying Series’, produk yang memberi tumpuan kepada penjagaan penuaan kulit kepala – faktor penting tetapi kurang diberi perhatian dalam kesihatan rambut.
Dalam jangka panjang, pengasas MadeToBloom itu berharap ia menjadi sandaran bagi masyarakat yang mempromosikan kecantikan secara menyeluruh.
“Matlamat kami adalah untuk hasilkan produk yang menyerlahkan kejelitaan semula jadi tanpa membebankan rutin harian.
“Setiap keluaran baru akan dirancang teliti, dan kami akan terus menyokong masyarakat yang menggunakan produk kami dalam perjalanan penjagaan diri mereka,” kata Cik Belle.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg