Pengeluar kereta elektrik China BYD telah mengalahkan syarikat saingannya dari Amerika Syarikat, Tesla, dalam penjualan kenderaan elektrik (EV) di Singapura pada 2023.
Ia menduduki tempat pertama dengan cara sama ia mengatasi pesaingnya, Tesla, sebagai penjual paling banyak EV di seluruh dunia, lapor The Business Times (BT).
Menurut perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang diterbitkan pada 29 Januari, sebanyak 5,468 EV didaftarkan pada 2023.
BYD menyumbang bahagian terbesar, dengan mendaftarkan 1,416 EV atau 25.1 peratus jumlah pendaftaran EV di Singapura pada 2023.
Pada 2022, syarikat itu membentuk 21.6 peratus daripada pasaran EV di sini.
Sebaliknya, Tesla hanya mendaftarkan 941 unit EV, menjadikannya EV kedua terlaris di Singapura.
Kereta elektrik BMW dari Jerman menduduki tempat ketiga dengan 789 EV terjual.
Kereta elektrik Hyundai dari Korea Selatan, di tempat keempat, berjaya menjual 694 unit EV, manakala satu lagi jenama kereta elektrik mewah dari Jerman, Mercedes-Benz, berada di tempat kelima dengan menjual 537 unit EV.
Hyundai meningkatkan prestasi jualannya dalam tempoh Julai hingga Disember 2023, dengan pendaftaran 591 EV, mengatasi Tesla (541), BMW (491) dan Mercedes-Benz (315).
Hyundai menyingkirkan jenama EV Britain milik China, MG daripada tempat kelima pada 2022 ke tempat keenam.
MG hanya berjaya menjual 178 EV pada 2023.
Pengarah komersial syarikat pengedar kereta Hyundai, Komoco Motors, Encik Ng Choon Wee, berkata Hyundai, yang mempunyai kemudahan di Singapura dan memasarkan kereta elektrik model Ioniq 5, serta dianugerahi ‘Kereta Tahun Ini’ (Car Of The Year) oleh The Straits Times, “tentunya memainkan peranan” dalam bilangan penjualan EV lebih tinggi pada 2023.
“Kereta Ioniq 5 buatan Singapura ini adalah satu lagi faktor positif yang mendorong minat semakin tinggi terhadap rangkaian kenderaan Hyundai,” kata Encik Ng.
Pelbagai tawaran oleh syarikat itu, dengan model seperti kereta sedan Ioniq 6 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Kona Electric yang berada di bawah kedua-dua Kategori A dan B bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) menjadi pendorong utama untuk syarikat itu mengejar pesaingnya, tambahnya.
Sebaliknya, pengeluar kereta Jepun yang sudah lama bertapak, jauh ketinggalan dalam perlumbaan EV.
Walaupun Toyota mencatat 7,248 pendaftaran bagi semua jenis kenderaan penumpang, dan menjadikannya jenama terlaris di Singapura, ia hanya berjaya menjual 43 unit EV dan berada di tempat ke-15.
Saingannya, Mazda, Nissan dan Honda masing-masing mempunyai 11, 10 dan lapan pendaftaran EV.
Dalam pada itu, penggunaan EV di Singapura telah meningkat kepada 18.1 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada 2023, berbanding 11.8 peratus pada 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg