NEW YORK: Syarikat automotif China, BYD, yang sedang berkembang pesat, kini hampir pasti akan memintas Tesla sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia dari segi jualan tahunan.
Kedua-dua syarikat gergasi itu bakal mengeluarkan angka jualan rasmi 2025 tidak lama lagi, dan berdasarkan data jualan setakat ini, peluang bagi syarikat Amerika Syarikat pimpinan Elon Musk itu untuk mempertahankan mahkota kepimpinannya amat tipis.
Sehingga akhir November, BYD yang beribu pejabat di Shenzhen, dan turut mengeluarkan kenderaan hibrid, telah mencatat penjualan 2.1 juta EV bagi 2025 setakat ini, lapor The Business Times.
Sementara itu, Tesla pula merekodkan 1.2 juta unit sehingga akhir September.
Angka jualan Tesla pada September itu termasuk lonjakan jualan sekali gus, iaitu hampir setengah juta kenderaan dalam tempoh tiga bulan, menjelang tamatnya kredit cukai Amerika untuk pembeli EV.
Insentif ini ditamatkan di bawah undang-undang yang disokong Presiden Donald Trump, seorang yang skeptikal terhadap perubahan iklim.
Namun, jualan Tesla bagi suku seterusnya dijangka merosot kepada 449,000 unit, menurut analisis konsensus FactSet.
Ini bermakna Tesla hanya akan mengumpul sekitar 1.65 juta jualan sepanjang 2025, kemerosotan sebanyak 7.7 peratus. Jumlah ini jauh ketinggalan berbanding pencapaian BYD menjelang akhir November.
Deutsche Bank, yang menjangkakan hanya 405,000 jualan EV Tesla pada suku keempat, meramalkan kemerosotan jualan syarikat itu sekitar satu pertiga di Amerika Utara dan Eropah, serta satu persepuluh di China.
Pemerhati industri berkata permintaan EV di Amerika memerlukan masa untuk kembali seimbang menyusuli pemansuhan kredit cukai sebanyak AS$7,500 ($9,637) pada akhir September 2025.
Malah sebelum itu, Tesla telah bergelut dengan jualan di pasaran utama, sebahagiannya berpunca daripada sokongan politik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Musk, terhadap Encik Trump dan tokoh politik berhaluan paling kanan lain.
Tesla juga berdepan persaingan EV yang kian sengit daripada BYD dan pengeluar China lain, selain daripada gergasi automotif Eropah.
Walaupun berkembang pesat, BYD tetap menghadapi cabaran di pasaran domestiknya.
Dengan keuntungan di China tertekan akibat pengguna yang sensitif terhadap harga, syarikat itu berusaha mengukuhkan kedudukannya di pasaran luar negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg