Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggunaan kenderaan elektrik meningkat di S’pura, bentuk 43% jualan kereta baru

Nov 3, 2025 | 7:31 PM
Dalam sembilan bulan pertama 2025, kenderaan elektrik (EV) merangkumi 43 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran kereta.
Dalam sembilan bulan pertama 2025, kenderaan elektrik (EV) merangkumi 43 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran kereta. - Foto ST

Kadar penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Singapura semakin meningkat, dengan 43 peratus daripada pendaftaran kereta baru dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 melibatkan kereta elektrik.

Sepanjang 2024, EV membentuk 33.8 peratus daripada jumlah jualan kereta baru, berbanding 18.2 peratus pada 2023.

EV juga merangkumi 45.6 peratus daripada pendaftaran Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi Kategori A dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat daripada 37.3 peratus pada 2024 dan 15 peratus pada 2023.

Bagi pendaftaran COE Kategori B antara Januari dengan September, bahagian EV mencatat 39.8 peratus, naik daripada 29.7 peratus bagi keseluruhan 2024 dan 21.5 peratus pada 2023.

EV dengan kuasa sehingga 110kW didaftarkan di bawah COE Kategori A, manakala kereta elektrik yang lebih berkuasa menggunakan sijil Kategori B.

Menurut data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), setakat akhir September, terdapat 41,732 kereta elektrik di jalan raya, mewakili 6.3 peratus daripada keseluruhan populasi kereta.

Ini meningkat daripada 4 peratus pada akhir 2024 dan 1.8 peratus pada 2023.

Lazimnya, COE Kategori A lebih murah berbanding Kategori B, namun jurang harga semakin kecil dengan kemunculan lebih banyak kereta elektrik berkuasa rendah.

Dalam latihan bidaan terbaru pada Oktober, premium COE Kategori A berakhir pada $122,000, iaitu $9,889 atau 7.5 peratus lebih rendah daripada Kategori B.

Jurang ini lebih kecil berbanding $10,990 (9.6 peratus) pada Oktober 2024 dan $44,001 (29.3 peratus) pada Oktober 2023.

Antara jenama seperti syarikat automobil Jerman BMW, jenama kereta elektrik China, BYD, pembuat kereta Korea, Kia, dan pembuat kereta Amerika Syarikat, Tesla, telah melaras kuasa enjin beberapa model mereka khusus untuk pasaran Singapura agar memenuhi syarat COE Kategori A.

Akhbar The Straits Times (ST) mendapati 15 daripada 38 model EV Kategori A juga ditawarkan dalam versi Kategori B.

Selain perbezaan kuasa, model-model ini biasanya memiliki ciri yang hampir sama, termasuk bumbung kaca panoramik, tempat duduk hadapan dengan pengudaraan baik dan sistem audio premium.

Penerimaan pengguna terhadap EV semakin meningkat, memandangkan banyak model di pasaran kini bukan sahaja lebih berpatutan berbanding kereta bukan elektrik, malah menawarkan lebih banyak teknologi dan ciri khas, kata Presiden Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura, Encik Neo Tiam Ting.

Beliau menjangkakan penggunaan EV akan terus meningkat, khususnya dalam bahagian COE Kategori A, apabila pengedar memperkenalkan lebih banyak EV versi model premium yang ditala semula bagi memanfaatkan premium yang lebih rendah.

Insentif cukai bagi EV yang menjadikan kos awalnya lebih rendah juga menjadi faktor utama peningkatan permintaan, jelas beliau.

Insentif itu akan dikurangkan sebanyak $10,000 kepada $30,000 mulai 1 Januari 2026, namun jumlah itu masih dianggap manfaat besar yang menjadikan EV lebih mampu dimiliki pembeli.

Rangkaian tempat mengecas EV yang semakin meluas turut memudahkan proses pengecasan, sekali gus mendorong lebih ramai pemandu bukan EV beralih kepada kenderaan elektrik, tambah Encik Neo.

Kini terdapat lebih 25,000 tempat mengecas EV di seluruh pulau, dengan hampir separuh yang mudah dimanfaatkan oleh orang ramai.

Singapura berada di landasan untuk mencapai 60,000 tempat mengecas menjelang 2030.

Cik Charissa He, 36 tahun, seorang karyawan komunikasi media, beralih daripada kereta keluarga berkuasa petrol kepada Tesla Model 3 pada 2024.

Beliau berkata kemudahan mengecas tidak menjadi masalah kerana terdapat banyak pengecas di kondominiumnya. Walaupun keretanya telah ditala semula bagi mematuhi syarat COE Kategori A, beliau dan suaminya tidak merasakan prestasinya berkurangan.

“Apabila tiba masa untuk menggantikan Tesla ini, kereta seterusnya mungkin masih EV kerana kami menikmati pengalaman memandunya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg