Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BYD kereta terlaris di S’pura pada separuh pertama 2025

Ia membentuk hampir satu perlima pasaran kereta S’pura
Jul 29, 2025 | 5:32 PM
byd, kereta terlaris
BYD kini mendominasi pasaran kereta baru di Singapura dengan membentuk 19.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 23,957 kereta yang dijual dalam tempoh enam bulan hingga Jun 2025. - Foto ST

Jenama kereta elektrik China, BYD, kini menjadi kereta paling digemari di Singapura.

Syarikat pengeluar kenderaan elektrik tersebut mendaftarkan jumlah kereta baru tertinggi di Singapura, iaitu 4,667 kereta pada enam bulan pertama 2025, menurut angka yang dikeluarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 28 Julai.

Jumlah tersebut adalah peningkatan 80.4 peratus berbanding 2,587 kereta BYD yang dijual dalam enam bulan pertama 2024.

BYD juga semakin menguasai pasaran kereta di Singapura.

Jualan kereta BYD membentuk 19.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 23,957 kereta yang dijual dalam tempoh enam bulan hingga Jun, naik daripada 13.9 peratus dalam tempoh sama 2024.

Toyota, jenama Jepun, menduduki tempat kedua dengan 3,461 kereta dijual pada separuh pertama 2025, meningkat 9.4 peratus berbanding 3,165 kereta yang dijual bagi tempoh sama pada 2024.

Penguasaan pasaran Toyota meningkat kepada 14.4 peratus pada separuh pertama 2025, daripada 13.9 peratus pada separuh pertama 2024.

BYD kini jelas menguasai pasaran kereta penumpang baru di Singapura, lapor The Business Times (BT).

Pada 2024, Toyota mencatat penjualan kereta tertinggi iaitu 7,876 unit, berbanding 6,191 kereta yang dijual oleh BYD.

Namun, jika jualan kereta import selari tidak diambil kira, bilangan kereta yang dijual oleh pengedar rasmi Toyota mencapai 5,736 unit, meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran kereta.

Jumlah penjualan kereta penumpang baru di Singapura meningkat 29 peratus kepada 23,957 unit pada separuh pertama 2025, berbanding 18,576 unit pada separuh pertama 2024.

Dua jenama kereta mewah dari Jerman – BMW dan Mercedes-Benz – masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

BMW mencatat jualan lebih tinggi, iaitu 2,664 kereta pada separuh pertama 2025, berbanding 2,523 kereta dalam tempoh sama 2024.

Jualan Mercedes-Benz pula naik kepada 2,537 kereta daripada 2,463.

Honda, satu lagi jenama dari Jepun, menduduki tempat kelima.

Jualan keretanya meningkat 50.5 peratus kepada 2,268 kereta pada separuh pertama 2025.

Bahagian pasarannya juga naik kepada 9.5 peratus pada separuh pertama 2025, berbanding 8.1 peratus pada separuh pertama 2024.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa syarikat BYD merancang menjual separuh daripada kenderaannya di luar China menjelang 2030, menjadikannya pesaing utama pengeluar kereta terbesar dunia.

BYD memasuki pasaran kereta pengguna di Singapura pada 2022, lebih setahun selepas pengeluar kereta elektrik Tesla.

Sejak itu, ia melaporkan jualan yang semakin memberangsangkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg