Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GM tandatangan kontrak dengan pengedar setempat

Bakal kembali edar di S’pura pada Jul dengan kereta mewah bernilai $650,000
May 2, 2025 | 8:43 PM
Kemunculan Chevrolet Corvette pada Julai 2025 menandakan kembalinya General Motors ke Singapura.
Kemunculan Chevrolet Corvette pada Julai 2025 menandakan kembalinya General Motors ke Singapura. - Foto CHEVROLET

Syarikat berbilang negara, Amerika General Motors (GM) bersedia membuat kemunculan semula di Singapura pada Julai 2025 dengan kereta mewah bernilai $650,000.

Kemunculan itu setelah lapan tahun ia berhenti menawarkan kereta pasaran besar Chevrolet di Singapura.

Chevrolet Corvette ialah kereta sukan berprestasi tinggi.

Lantas kehadirannya akan membuka jalan kepada jenama dan model milik GM lain untuk dijual di sini, kata seorang pakar industri.

Syarikat permotoran pelbagai tempatan Alpine Group menandatangani perjanjian untuk menjual kenderaan GM di Singapura pada Februari, kata pengarah syarikat itu, Encik Keith Pang.

Anak syarikatnya, Alpine Motors, merupakan pengedar Chevrolet sehingga 2017 apabila jenama Amerika itu menarik diri daripada pasaran.

Kontrak syarikat untuk mengendalikan tuntutan waranti dan pembaikan kereta Chevrolet berakhir pada 2019.

Selepas pelancaran pada Julai, kereta Corvette yang memuatkan dua tempat duduk dijangka berharga sekitar $650,000 dengan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), lapor The Straits Times.

Alpine akan membawa masuk versi petrol-hibrid kereta itu pada 2026.

Harganya mungkin mencecah sekitar $900,000 dengan COE, kata Encik Pang.

Ini merupakan jenis kenderaan yang berbeza daripada model Chevrolet yang mesra keluarga yang pernah dijual di sini.

Walaupun terdapat segelintir Corvette yang dibawa masuk oleh pengimport selari, ini adalah kali pertama kereta sport itu boleh didapati di Singapura melalui pengedaran rasmi.

Melancarkan semula GM dengan model kelas atasan seperti Corvette adalah strategi yang baik, kata Encik Mahaendra Gofar, pakar industri automotif selama lebih 25 tahun.

“Dengan Corvette sebagai kereta mewah, GM boleh membuat susulan dengan model yang mempunyai daya tarikan pasaran besar-besaran,” kata eksekutif yang pernah bekerja di syarikat kereta di China, Jerman dan Singapura itu sebelum peranannya kini menasihati sektor automotif di Indonesia.

Encik Gofar berkata minat terkini GM di sini mungkin sebahagiannya didorong oleh penurunan jumlah jualan di China berikutan persaingan sengit daripada jenama kereta China seperti BYD.

Selain Chevrolet, GM mempunyai tiga jenama kereta penumpang lain termasuk Buick, GMC dan Cadillac.

Walaupun Buick dijual terutamanya di China, dengan model pemanduan kiri, Cadillac dan GMC kini mempunyai kereta pacuan kanan yang dijual di negara seperti Australia, tetapi belum lagi di Asia Tenggara.

Cadillac ialah jenama premium GM yang bersaing dengan Lexus, Audi dan BMW, manakala GMC terkenal dengan kenderaan utiliti sukannya dengan enjin yang sangat besar, yang secara tradisinya tidak laku di Singapura.

Walaupun Chevrolet terdapat secara meluas di Amerika Syarikat, model semasanya belum mempunyai versi pemacu sebelah kanan lagi.

GM menarik diri dari Singapura pada 2017 kerana model Chevroletnya tidak mematuhi piawaian pelepasan karbon yang lebih ketat yang mula berkuat kuasa ketika itu.

Sekitar tempoh itu, kumpulan kereta Amerika juga secara aktif mengurangkan operasi untuk membendung kerugian.

Ini termasuk menjual jenama Opel kepada kumpulan automotif lain, Stellantis, dan menutup kilang di India dan Australia.

Chevrolet akan menjadi jenama kereta Amerika kedua sejak 2021 yang dijual secara rasmi di Singapura oleh pengedar sah, selepas Tesla membuka pintunya di sini pada 2021.

Ford, yang juga kereta dari Amerika, kini hanya menjual trak pikap, manakala Jeep pada masa ini tidak mempunyai pengedar di sini selepas ejennya, Capella Auto, menjual bekalannya pada Februari dan berhenti mewakili jenama Amerika itu di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg