Syarikat hartanah CapitaLand Investment (CLI) telah memberhentikan 90 pekerja pada 2026, yang merangkumi kira-kira 4 peratus daripada tenaga kerjanya di Singapura.

CLI mendedahkan perkara tersebut kepada The Straits Times (ST), tanpa memperincikan bahagian syarikat yang terjejas.

Firma tersebut “membuat semakan secara berkala ke atas struktur organisasinya” bagi memastikan ia kekal sejajar dengan keutamaan strategik dan keperluan perniagaan jangka panjangnya, kata CLI dan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan dan Industri Singapura (Siseu) dalam satu kenyataan bersama pada 3 September.

CLI mempunyai kira-kira 2,200 pekerja di Singapura, dengan sebilangan besar daripada mereka berpangkalan di pejabatnya di Capital Tower. 

CLI merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kesatuan sekerja.

Pihak kesatuan berkata ia telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai langkah penyusunan semula itu dan telah berurusan dengan pihak syarikat sepanjang proses berkenaan.

Ini termasuk mewakili kepentingan pekerja, memastikan pekerja terjejas dilayan secara adil, dan pakej pampasan pemberhentian kerja diberikan mengikut Perjanjian Kolektif.

“Menyokong para pekerja merupakan satu keutamaan.

“Jika bersesuaian, syarikat juga akan mempertimbangkan peluang penempatan semula di dalam kumpulan syarikat,” kata CLI dan pihak kesatuan.

Pada 2025, kira-kira 77 peratus pekerja CLI di Singapura merupakan warga tempatan, menurut perangkaan yang dikeluarkan dalam laporan kemampanan global ke-17 syarikat itu pada Mei.

Daripada bilangan pekerja tempatan ini, lebih 48 peratus di Singapura memegang jawatan pengurusan dan pengurusan kanan.

Berdasarkan tenaga kerja globalnya yang melebihi 9,500 pekerja, laporan tersebut menyatakan bahawa CLI mengekalkan kadar penggantian pekerja sebanyak 24 peratus “tanpa sebarang langkah pemberhentian kerja secara besar-besaran”.

Syarikat itu, yang berpangkalan serta disenaraikan di Singapura pada 2021, mempunyai kehadiran kukuh di Asia dan beroperasi di lebih 40 negara termasuk China dan India.

Jawatan kosong di laman webnya setakat 3 September menunjukkan lebih 60 peranan dan latihan amali di Singapura dalam bidang seperti operasi, pengurusan hartanah dan pemasaran.

Dalam taklimat keputusan kewangan syarikat itu pada 13 Ogos, Ketua Eksekutif CLI, Encik Lee Chee Koon, berkata syarikat sedang mempertimbangkan untuk melucutkan pegangan saham dalam perniagaan layanan tamunya, The Ascott Limited, bagi memacu pertumbuhan syarikat.

Ia mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 13.9 peratus kepada $327 juta bagi separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, meningkat daripada $287 juta bagi tempoh yang sama pada 2025.