Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan Singapura (SISEU) berkata mereka terkejut dan terkilan dengan amalan tidak adil dan kurang bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Agoda.
NTUC menyeru Agoda supaya menjelaskan kedudukannya, dan menggesa MOM untuk menyiasat dakwaan terhadap Agoda kerana ia menjejas hak pekerja Agoda untuk mendapat perlindungan di tempat kerja.
Agensi pelancongan dalam talian, Agoda, telah memberhentikan kakitangan di seluruh operasi syarikat itu, termasuk sekitar 50 pekerja di Singapura.
Menurut sumber, syarikat yang beribu pejabat di Singapura itu telah mengadakan satu sesi taklimat maya tertutup pada 4 Ogos bersama kakitangan Kumpulan Pengalaman Pelanggan (CEG) syarikat itu di Singapura, Shanghai, dan Budapest mengenai pemberhentian tersebut, lapor The Business Times (BT).
Sebab rasmi yang diberikan ialah pemberhentian tersebut disebabkan isu “kos (niaga)” dan “cabaran pengambilan pekerja”.
Pihak pengurusan memaklumkan pekerja bahawa semua jawatan CEG di ketiga-tiga lokasi tersebut akan dihentikan.
Pekerja yang memegang jawatan pakar khidmat pelanggan hingga ke pengurus serantau terjejas dengan langkah mengurangkan operasi syarikat itu.
Sebahagian dokumen pampasan pemberhentian kerja yang dilihat oleh BT menyatakan bahawa sebarang laporan mengenai perkara tersebut kepada agensi pemerintah, badan berkanun dan kesatuan sekerja seperti Kementerian Tenaga Manusia (MOM) atau Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep), akan mengakibatkan individu berkenaan “tidak lagi layak menerima pampasan ini”.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng dan Setiausaha Eksekutif SISEU, Encik Desmond Tan berkata:
“Amalan ini, jika benar, adalah tidak bertanggungjawab dan mengecewakan.”
Menambah, mereka berkata amalan ini melanggar hak asasi setiap pekerja untuk memohon pembelaan apabila mereka berdepan dengan isu di tempat kerja.
Bagi pihaknya, Agoda akan memohon pengecualian cukai pendapatan ke atas pampasan gaji tersebut.
Dalam satu kenyataan, MOM berkata adalah “tidak wajar” bagi majikan untuk menyertakan peruntukan yang tidak menggalak atau menghalang pekerja rujuk ke pihak berkuasa untuk semua situasi.
“Ini bertentangan dengan semangat amalan pengambilan pekerja yang adil dan bertanggungjawab.”
“Kami memandang serius kelakuan sedemikian, kerana ia menjejas kepercayaan dalam rangka kerja pekerjaan dan wadah yang ada untuk pekerja mendapatkan sokongan,” kata MOM.
“Jika perlu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.”
Syarikat itu berkata ia tidak dapat mengulas lanjut mengenai perjanjian penyelesaian individu untuk menghormati privasi pekerja.
Sementara itu, dokumen pemecatan yang dilihat oleh BT menyatakan kakitangan yang terjejas oleh pemberhentian ini yang cuba membuat tuntutan terhadap Agoda akan menanggung rugi kos kepada syarikat akibat tindakan tersebut. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kos undang-undang, pampasan dan perintah ganti rugi.
Satu sumber berkata kakitangan Agoda di Singapura sebelum ini telah dimaklumkan bahawa jabatan CEG “wujud terutamanya untuk memenuhi kuota tenaga kerja tempatan”, supaya syarikat itu dibenarkan menggajikan bakat asing bagi jawatan teknologi maklumat (IT) dan kejuruteraan.
Ini sebagai menjawab soalan pekerja mengenai peluang kemajuan kerjaya yang terhad di Singapura berbanding lokasi lain yang mengurus pelanggan.
Kakitangan yang ingin maju dalam kerjaya dimaklumkan bahawa mereka harus mempertimbangkan untuk berpindah dan berkhidmat di tempat lain seperti Bangkok, menurut sumber tersebut.
Sumber itu juga percaya bahawa perubahan kuota Pas S mungkin turut menyumbang kepada keputusan untuk mengurangkan operasi syarikat itu di Singapura.
Permohonan Pas S baru yang dikemukakan kepada MOM mulai 1 September 2025 tertakluk kepada gaji kelayakan baru sebanyak $3,300 sebulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg