Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CapitaLand Investment labur $260j, bina kemudahan logistik automatik

Dengan keluasan 71,000 meter persegi, ia dijangka siap pada 2028
Jan 8, 2026 | 1:36 PM
Omega 1 Singapore,  bakal dibina, logistik, CapitaLand Investment, Kawasan Perindustrian Jurong.
Lakaran artis projek Omega 1 Singapore yang akan dibangunkan di tapak seluas 5.1 hektar di 19 Gul Lane, Kawasan Perindustrian Jurong. - Foto CAPITALAND INVESTMENT

CapitaLand Investment Limited (CLI) pada 8 Januari mengumumkan rancangan untuk membangunkan kemudahan logistik automatik bernilai $260 juta di Singapura, melalui dana serantau mereka.

Syarikat itu juga melabur secara minoriti dalam syarikat Ally Logistic Property (ALP), syarikat prasarana logistik pintar yang akan menyewa kemudahan tersebut.

Dana Logistik Asia Tenggara CapitaLand (CSLF) milik CLI telah memperoleh tapak seluas 5.1 hektar di 19 Gul Lane, Kawasan Perindustrian Jurong, bagi projek yang diberi nama Omega 1 Singapore.

Kemudahan lima tingkat itu dijangka siap pada 2028 dan akan mempunyai keluasan lantai kasar 71,000 meter persegi, lapor The Business Times (BT).

Ia bakal dilengkapi sistem robotik serta sistem penyimpanan dan pengambilan automatik yang mampu mengendalikan sekitar 60,000 ruang palet.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CLI bagi Asia Tenggara, Cik Patricia Goh, yang juga Ketua Sejagat Logistik dan Penyimpanan Sendiri, Dana Persendirian, menyifatkan langkah itu sebagai tindak balas strategik bagi memenuhi permintaan terhadap “penyelesaian logistik moden dan automatik di rantau ini”.

Permintaan itu didorong oleh lonjakan penggunaan digital, penduduk yang semakin menua, peningkatan kos pekerja, serta penyusunan semula rantaian bekalan, jelas Cik Goh.

Seiring dengan pembangunan itu, CLI telah melabur dalam saham minoriti dalam ALP, sebuah syarikat prasarana logistik pintar yang berpangkalan di Asia.

Apabila Omega 1 Singapore siap, ALP akan menyewa sepenuhnya kemudahan itu melalui perjanjian pajakan utama.

Perjanjian itu merangkumi sewa yang meningkat secara berkala, yang menurut CLI akan menjana pendapatan stabil dan berkembang untuk pelabur CSLF.

Sejak dua tahun lalu, CLI telah melabur sekitar $500 juta dalam pembangunan logistik di seluruh Asia Tenggara.

Menyusuli urus niaga di Gul Lane itu, susunan aset mengikut lokasi portfolio CSLF akan berubah, dengan aset di Singapura kini merangkumi 55 peratus daripada jumlah aset di bawah pengurusannya.

Baki portfolio CSLF kini terletak di Thailand dan Vietnam.

Antara projek utama lain dana itu ialah Omega 1 Bang Na, sebuah kampus logistik pintar seluas 20 hektar di Bangkok, dengan Fasa 1 dijangka siap pada pertengahan 2026.

Dana itu juga mempunyai kilang siap bina di Taman Perindustrian Song Khoai, Quang Ninh, Vietnam, yang mula dibina pada September 2025 dan dijangka siap pada separuh pertama 2026.

Saham CLI naik 1.4 peratus dan ditutup 4 sen lebih tinggi kepada $2.82 pada sekitar 1 petang, 8 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg