Syarikat pengurus aset, CapitaLand Investment (CLI), mencatat keuntungan yang merosot 13.3 peratus bagi enam bulan pertama 2025 berbanding tempoh sama pada 2024.
Keuntungan yang berkurangan itu disebabkan kehilangan sumbangan daripada aset yang telah dijual, prestasi dana dan yuran transaksi lebih rendah, serta ketiadaan pulangan cukai sekali sahaja.
Keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan hingga Jun susut kepada $287 juta berbanding $331 juta bagi tempoh sama pada 2024.
Kemerosotan tersebut dialami sedang pendapatan bagi separuh pertama 2025 turun 24 peratus kepada $1.04 bilion berbanding $1.37 bilion bagi tempoh sama pada 2024.
Antara lain, ia disebabkan syarikat, CapitaLand Ascott Trust, sudah tidak lagi menjadi anak syarikat CLI, selain kehilangan sumbangan daripada hartanah yang telah dijual.
Menurut CLI, keuntungan yang berkurangan itu tidak begitu ketara disebabkan sumbangan daripada pelaburan baru, prestasi lebih baik daripada hartanah penginapan dan kos pembiayaan lebih rendah, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kenyataan pada 14 Ogos, Pengerusi CLI, Encik Miguel Ko, berkata syarikat tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaburan di Australia, India, Jepun dan Korea Selatan sambil menyusun semula asetnya di China.
CLI terus berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran mengumpul dana sebanyak $200 bilion yang diuruskan syarikat itu menjelang 2028, tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CLI, Encik Lee Chee Koon, menambah dalam kenyataan itu bahawa CLI telah mengenal pasti tiga sektor – tempat tinggal dan penginapan, logistik, dan ruang penyimpanan peribadi – sebagai bidang sesuai mendapat pelaburan tambahan.
Ini kerana sektor tersebut mempunyai “arus pertumbuhan kukuh selaras dengan trend utama sejagat, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg