CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) telah memeterai perjanjian untuk membeli lima kemudahan perindustrian berspesifikasi tinggi di Johor pada harga RM220.8 juta ($69.2 juta), sekali gus memperluaskan kehadirannya di kawasan perindustrian selatan Malaysia.
Kemudahan tersebut, yang terletak secara strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), berada di taman perindustrian i-Tech Valley di Iskandar Puteri, Malaysia.
Ia diperoleh daripada Greenhill SILC dan Pentagon Land, yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh AME Elite Consortium yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Harga pembelian yang dipersetujui mencerminkan diskaun sebanyak 0.6 peratus berbanding penilaian pasaran bebas berjumlah RM222.1 juta yang dilantik oleh pemegang amanah, lapor The Business Times (BT).
Pengambilalihan itu dijangka diselesaikan secara berperingkat dari suku pertama 2027 hingga suku pertama 2028.
Dalam pemfailan kepada bursa pada 22 Disember, pengurus CLMT berkata langkah tersebut membolehkan penyewaan dilakukan secara berperingkat mengikut permintaan pasaran.
Selepas selesai dan menghasilkan pendapatan operasi selama setahun penuh, urus niaga itu dijangka meningkatkan pengagihan setiap unit, dengan anggaran hasil kasar tahun pertama sekitar 7.3 peratus.
Ketua pegawai eksekutif CapitaLand Malaysia Reit Management, selaku pengurus CLMT, Cik Yong Su-Lin, berkata pengambilalihan tersebut menyokong strategi amanah itu untuk mengembangkan portfolio perindustrian dan logistiknya dengan aset berkualiti di lokasi bernilai tinggi.
“Pasaran perindustrian Johor terus dapat meraih manfaat daripada JS-SEZ dan penaiktarafan infrastruktur utama seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link),” katanya.
Dengan kemudahan itu, CLMT berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang, hasil daripada pengembangan sektor pembuatan serantau dan penyusunan semula rantaian bekalan, tambahnya.
CLMT disenaraikan di Bursa Malaysia.
Setelah ia siap, portfolionya di Johor akan mempunyai 11 aset perindustrian dengan keluasan binaan sekitar 781,937 kaki persegi.
Ini akan meningkatkan peratusan aset perindustrian dan logistik di bawah pengurusan CLMT daripada 7.9 peratus kepada 11.5 peratus.
Kelima-lima kemudahan ini mempunyai keluasan binaan 524,077 kaki persegi, terdiri daripada kilang setingkat dengan pejabat dua tingkat dan bangunan sokongan.
Ia juga direka untuk penyewa moden dengan lantai kukuh, siling tinggi, serta muka bangunan moden.
Hartanah tersebut terletak dalam i-Tech Valley, sebuah taman perindustrian seluas 170 ekar (68.8 hektar) di Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan di Iskandar Puteri.
Direka sebagai taman perindustrian mampan dan berteknologi tinggi, i-Tech Valley memenuhi keperluan industri pembuatan termaju, logistik dan teknologi.
Hartanah itu juga terletak berdekatan dengan Kompleks Kastam Tuas (20 minit jika memandu), menjadikannya lebih menarik bagi penyewa dari Singapura dan pengendali rantaian bekalan serantau.
Pengambilalihan tersebut dijangka mula menyumbang pendapatan secara berperingkat bermula tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2027.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg