Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga beberapa tapak utama di JB naik seganda susulan RTS

Kos tanah berdekatan RTS Link lonjak daripada RM700 ($220) setiap kaki persegi (psf) pada 2022, kepada antara RM1,000 hingga RM1,500 psf
Dec 1, 2025 | 6:34 PM
RTS, harga, melonjak
Projek dalam jarak berjalan kaki daripada stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) kini menetapkan penanda aras harga baru, memandangkan pemaju berlumba-lumba menyelaraskan perancangan mereka dengan koridor pertumbuhan yang dipacu oleh RTS Link. - Foto BT

Pasaran hartanah Johor mungkin dalam tahap kenaikan harga lebih tinggi menjelang pembukaan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, dengan kos tanah di sekeliling stesen Johor Bahru melonjak daripada kira-kira RM700 ($220) setiap kaki persegi (psf) pada 2022, kepada antara RM1,000 hingga RM1,500 kini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Olive Tree Property Consultants, Encik Samuel Tan, berkata lonjakan tersebut mencerminkan bukan sahaja permintaan, bahkan kenaikan terkini dalam nisbah lot yang dibenarkan.

“Anda masih memerlukan tempat letak kereta dan permintaan sebenar untuk memanfaatkan sepenuhnya kepadatan tambahan itu,” kongsi beliau kepada The Business Times (BT).

Menurut pemain pasaran, penetapan harga semula ini menandakan peralihan ketara dalam kitaran pasaran Johor, daripada pertumbuhan menyeluruh kepada pasaran yang jauh lebih terpilih dengan faktor keterhubungan kini menjadi faktor penentu paling utama.

Pengarah Youke Home Management Service, Cik Rainee Lai, yang memantau projek berdekatan stesen Bukit Chagar, berkata:

“RTS menjadikan Johor Bahru seolah-olah sebuah bandar satelit bagi Singapura.”

“Bagi pelabur, dua perkara yang amat penting sekarang: sejauh mana projek itu berhampiran dengan RTS, dan sama ada produk itu sesuai buat pengembara harian.”

Berdasarkan analisis beliau, harga di pusat bandar telah meningkat sekitar 18 hingga 20 peratus sejak 2020, dengan permintaan paling tinggi tertumpu pada projek yang berada dalam jarak berjalan kaki daripada stesen berkenaan.

Projek dalam jarak berjalan kaki daripada stesen RTS Link sedang menetapkan penanda aras harga baru.

Projek CTC SkyOne, yang dijangka siap pada 2029, sedang dipasarkan pada sekitar RM1,389 hingga RM1,490 psf iaitu kira-kira 2.5 kali ganda purata harga tradisional Johor Bahru.

Ia terletak kira-kira 300 meter daripada stesen RTS Bukit Chagar.

Menariknya, jarak yang lebih jauh daripada RTS boleh menjejas kuasa penetapan harga.

Salah satu projek adalah M Grand Minori, sebuah projek yang dilancarkan pada Ogos lalu di Taman Pelangi dan dibangunkan oleh Mah Sing Group.

Terletak kira-kira 3 kilometer (km) daripada stesen Bukit Chagar, projek tersebut menawarkan pangsapuri servis dengan harga bermula sekitar RM390,000 bagi unit bersaiz 403 hingga 835 kaki persegi, atau sekitar RM470 hingga RM970 psf.

M Grand Minori masih dipasarkan sebagai perumahan mudah diakses melalui perkhidmatan transit, tetapi harga lebih rendah itu agak menonjol berbanding pelancaran projek berhampiran RTS yang menawarkan kadar harga jauh lebih tinggi.

Menurut data daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara Malaysia (Napic), Johor Bahru mencatatkan peningkatan 5.7 peratus secara tahunan dalam Indeks Harga Rumah pada separuh pertama 2025, antara kenaikan tertinggi di Malaysia.

Sebagai perbandingan, indeks di seluruh negara meningkat 0.7 peratus dalam tempoh sama.

Rumah berhalaman mencatat pertumbuhan kukuh, manakala pangsapuri servis di lokasi utama telah menyaksikan peningkatan lebih mendadak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg