Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) mengumumkan pada 31 Januari bahawa ia telah memberikan kelulusan bersyarat bagi peluasan usaha sama yang dijalankan pada 2016, antara syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dengan Lufthansa, yang dijangka membantu dalam meningkatkan pelancongan di Singapura, serta manfaat yang lain.
Peluasan ini akan meluaskan skop geografi usaha sama yang diluluskan CCCS pada 2016 itu.
Kini SIA dan Lufthansa merancang kerjasama dalam penyediaan perkhidmatan udara bagi penumpang – termasuk penetapan harga, jualan dan pemasaran, serta pengurusan inventori.
Usaha sama yang diperluaskan itu akan menambah lebih banyak negara dalam pasaran perkhidmatan penerbangan tetap, termasuk negara di Eropah seperti Portugal, Iceland, Greece, Sepanyol, dan United Kingdom (UK), serta Asia-Pasifik, Vietnam dan Filipina.
Ia juga melibatkan perkhidmatan syarikat penerbangan Swiss, Austrian Airlines dan Scoot, lapor The Business Times.
Usaha sama yang diperluas itu akan meningkatkan pelancongan dan industri berkaitan di Singapura serta membolehkan harga tiket lebih kompetitif, kata CCCS.
Manfaat lain termasuk peningkatan hubungan penerbangan Lufthansa dan SIA, serta penggunaan aset kedua-dua pihak dengan lebih baik.
CCCS mengatakan ia memberi kelulusan bersyarat bagi peluasan usaha sama itu pada 27 Januari, dengan syarat kedua-dua syarikat penerbangan itu memenuhi komitmen tertentu.
Syaratnya termasuk membawa jumlah minimum penumpang dari Singapura melalui laluan Singapura-Frankfurt dan Singapura-Zurich setiap tahun, serta mengekalkan kapasiti tempat duduk yang ditetapkan bagi kededua laluan.
Syarikat penerbangan itu perlu melantik juruaudit bebas untuk memantau pematuhan mereka dan mengemukakan laporan tahunan kepada CCCS.
Pada Disember 2022, SIA dan Lufthansa memohon kepada CCCS untuk menentukan sama ada peluasan itu melanggar Akta Persaingan 2004, yang tidak membenarkan amalan yang boleh merosakkan persaingan di Singapura.
Pada Ogos 2023, CCCS mula menyemak peluasan yang dicadangkan itu dan mengenal pasti beberapa kebimbangan dari segi persaingan.
Salah satunya ialah penyelarasan harga dan kapasiti antara dua syarikat penerbangan itu yang boleh mengehadkan persaingan di laluan tertentu.
CCCS juga mendapati manfaat peluasan itu tidak cukup untuk mengatasi kebimbangan persaingan mengikut Akta Persaingan.
Ia berkata hanya SIA dan Lufthansa mengendalikan penerbangan langsung antara Singapura dengan Frankfurt; dan antara Singapura dengan Zurich, dengan kedua-dua syarikat penerbangan itu mempunyai bahagian pasaran yang besar pada kedua-dua laluan.
Pada November 2024, CCCS mengadakan sesi rundingan untuk menilai apakah komitmen yang dicadangkan cukup untuk menangani kebimbangan persaingan.
Tiada kebimbangan dibangkitkan oleh pihak berkepentingan.
Setelah menilai maklum balas, CCCS memutuskan komitmen tersebut cukup untuk mengatasi kebimbangan persaingan dari peluasan usaha sama 2016 itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg