Singapore Airlines (SIA) disenaraikan sebagai syarikat penerbangan global terbaik dan berada di tangga ke-28 secara keseluruhan dalam senarai syarikat paling dikagumi di dunia oleh majalah Fortune.
Senarai edisi ke-27 itu berdasarkan tinjauan ke atas 3,380 eksekutif, pengarah, dan penganalisis sekuriti dari seluruh dunia, yang diminta memilih 10 syarikat paling mereka kagumi.
Syarikat dinilai berdasarkan sembilan ciri, termasuk mutu pengurusan, inovasi, dan daya saing global.
Pada 2024, SIA menduduki tempat ke-29 sementara pada 2023, ia berada di tempat ke-31. Pada 2022 pula ia berada di tempat ke-32, dan pada 2021 di tempat ke-34.
Dalam senarai 2025, SIA menduduki tempat ke-28 secara global dan satu-satunya syarikat berpangkalan di Singapura yang menduduki 50 tempat teratas.
Ia syarikat Asia kedua yang disenaraikan di tangga teratas selepas Toyota, yang berada di tempat ke-25.
Ini adalah kali ke-23 SIA berjaya muncul dalam senarai tahunan itu.
Senarai itu, yang sebahagian besar terdiri daripada syarikat dari Amerika Syarikat, turut menyaksikan SIA mendahului syarikat berbilang negara dan jenama besar seperti Starbucks, Accenture, Visa dan Samsung.
Dalam senarai tersebut, Apple menduduki tempat pertama untuk tahun ke-18 berturut-turut, diikuti oleh Microsoft dan Amazon.
Selain itu, SIA muncul sebagai syarikat penerbangan terbaik dalam kalangan pesaing industri, naik daripada tempat kedua pada 2024.
Ini disusuli syarikat penerbangan Amerika, Delta Air Lines dan Lufthansa dari Jerman sementara SkyWest dari Amerika serta ANA dari Jepun berkongsi tempat keempat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA, Encik Goh Choon Phong, berkata SIA komited dalam menetapkan piawaian baru dalam penerbangan dan menghargai sokongan kepada syarikat itu.
“Di Singapore Airlines, kami komited untuk menetapkan standard baru dalam perjalanan udara dan mengekalkan kedudukan kepimpinan kami dalam industri ini.
“Penghargaan daripada majalah Fortune ini mencerminkan semangat, dedikasi, dan ketabahan kakitangan SIA yang sentiasa berusaha untuk memberikan pengalaman perjalanan bertaraf dunia.
“Kami ingin melahirkan penghargaan kepada pelanggan dan semua rakan kongsi kami atas sokongan padu mereka, yang kami tidak pernah ambil ringan,” kata Encik Goh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg