Satu inisiatif baru yang melangkaui konsep pameran kerja tradisional telah dilancarkan di daerah barat daya Singapura bagi membantu penduduk mendapatkan pekerjaan yang lebih dekat dengan rumah masing-masing.
Program yang diberi nama ‘Jobs Nearby @ CDC’ itu melibatkan usaha menempatkan duta pekerjaan di Kelab Masyarakat (CC), yang akan mendekati golongan yang mencari kerja secara langsung.
Usaha itu juga dijangka dapat mengatasi masalah yang dipanggil jurang ‘last-mile’ atau fasa terakhir proses yang mencabar dalam memadankan pekerjaan berpotensi bagi individu yang mencari kerja, lapor The Straits Times (ST).
Daya usaha itu akan diperluaskan ke semua Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) lain menjelang Oktober.
“Duta pekerjaan ini akan memberi bantuan yang sesuai mengikut keperluan,” kata Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling, pada 31 Ogos semasa pameran kerja di Kelab Masyarakat Hillview.
Lima duta pekerjaan telah dikerahkan buat julung-julung kalinya bagi membantu individu mencari kerja. Setiap seorang ditugaskan di sebuah kelab masyarakat di daerah barat daya Singapura.
Mereka akan membantu menjadualkan janji temu (maya atau bersemuka) dengan majikan, menghubungkan golongan pencari kerja dengan kursus peningkatan kemahiran jika perlu, dan merujuk mereka kepada rakan kongsi untuk perkhidmatan lain seperti kaunseling kerjaya.
Mereka juga akan berunding dengan majikan berpotensi agar syarat kerja lebih fleksibel – contohnya, melaraskan waktu kerja untuk membantu penjaga keluarga – jelas Cik Low, yang juga Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan).
Selain penjaga keluarga, inisiatif itu menyasarkan tiga kumpulan utama, iaitu penduduk yang kurang mahir dalam bidang digital dan sukar meninjau dan miliki akses platform mencari kerja dalam talian; mereka yang mempunyai keperluan khas dan masalah pergerakan mahupun pekerja lama yang kehilangan pekerjaan dan kurang pengalaman ditemu duga.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pada Rapat Hari Kebangsaan 2025, pada 17 Ogos, bahawa CDC akan mengetuai inisiatif padanan kerja berasas masyarakat ini, menggunakan jaringan tempatan mereka dengan peniaga, syarikat kecil dan sederhana (SME), serta rakan kongsi masyarakat sebagai sokongan utama.
Jenis pekerjaan yang ditawarkan termasuk peranan PMET (Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen) di SME dan syarikat berbilang negara, selain peranan bukan PMET di barisan hadapan, yang memerlukan kehadiran fizikal di kawasan kejiranan.
Dalam pameran kerja itu, antara 12 majikan yang hadir ialah syarikat bioteknologi Swiss, Lonza Biologics, yang merancang mengambil lebih 100 pekerja sepenuh masa menjelang 2026.
Jawatan ditawarkan termasuk pakar bioteknologi, pengurus kewangan, serta peserta dalam Program Penukaran Kerjaya seperti jurutera projek.
Turut hadir ialah firma logistik tempatan GKE, dengan sekitar 300 pekerja, yang sedang merekrut sekitar 10 orang bagi peranan seperti rakan kongsi pengurusan dan pemandu.
Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan dan Khidmat Pelanggan di GKE, Cik Doreen Chai, berkata kehadiran mereka dalam pameran kerja membantu menaikkan profil di kawasan kejiranan. GKE turut menyediakan pengangkutan percuma untuk kakitangan.
Pengerusi, Persatuan Peniaga Bukit Gombak, Encik Chee Chin Young, mengatakan persatuannya akan menghubungkan pencari kerja dengan anggota mereka – merangkumi lebih 150 kedai di pusat kejiranan Bukit Gombak dan kawasan sekitar.
Sebagai pengetua Fun Learners’ School, beliau sedang mencari kakitangan untuk operasi dan pengajaran.
Beliau yakin inisiatif itu akan membantu menonjolkan peluang kerja yang sebelum ini kurang disedari.
Sekitar 10 majikan yang tidak hadir secara fizikal turut menjalankan temu duga secara maya; sekurang-kurangnya dua pencari kerja memperoleh tawaran jawatan ketika itu.
Sebelum acara bermula, kira-kira 20 pencari kerja beratur. Sekitar 100 penduduk berdaftar menyertai.
Seorang pencari kerja, yang mahu dikenali sebagai Encik Mustafa, telah datang dari Simei untuk mencari pekerjaan dalam bidang pengurusan rantaian bekalan.
Beliau berpengalaman lebih 20 tahun, namun khidmatnya dihentikan pada April.
“Jarak rumah dengan tempat kerja tidak jadi isu bagi saya. Saya tertarik dengan peluang di Lonza dan GKE.
“Pameran kerja lebih baik kerana anda boleh bersemuka dengan bakal majikan.
“Bagi orang seperti saya yang berumur lebih 50 tahun, ini peluang yang baik,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg