Dengan hanya lagi beberapa bulan sebelum beliau tamat pengajian di Politeknik Nanyang (NYP) pada 2021, Cik Syahindah Abdul Halil, tidak membuang masa, bahkan terus merebut peluang mendaftarkan diri bagi satu program perantisan bersama firma khidmat kewangan, JPMorganChase.
Selama setahun, beliau meraih pengalaman latihan sambil bekerja, seiringan dengan usaha menimba kemahiran baru seperti pengekodan dan analitik data di firma itu.
Usahanya itu membuahkan hasil yang positif – setelah tamat program perantisan itu, Cik Syahindah, yang kini berusia 24 tahun, ditawarkan pekerjaan sepenuh masa sebagai penganalisis pemasaran dan komunikasi.
Seperti Cik Syahindah, lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti tidak lama lagi boleh meraih manfaat daripada satu program pelatih dibiayai pemerintah baru, yang akan menawarkan peluang latihan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 17 Ogos.
Berucap pada Rapat Hari Kebangsaan (NDR) yang diadakan di ITE Kolej Central di Ang Mo Kio, Encik Wong, berkata beliau memahami ramai lulusan baru bimbang tentang pekerjaan, terutamanya di tengah ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Hari ini, syarikat terus menawarkan program pelatih. Namun, dengan sokongan pemerintah, mereka boleh tawarkan lebih banyak peluang latihan,” kata beliau.
Encik Wong menambah bahawa program itu akan dimulakan secara lebih tertumpu, namun ia akan diperluaskan sekiranya ekonomi bertambah buruk.
Butiran lanjut mengenai program itu akan dikongsi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) tidak lama lagi.
Sementara itu, dalam usaha membantu rakyat Singapura merebut peluang pekerjaan baru, Encik Wong turut mengumumkan satu inisiatif pemadanan kerja baru di peringkat bandar yang akan diterajui Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
“Kami sedang mempertingkat khidmat pemadanan kerja. Kami akan membawa lebih banyak pameran kerjaya secara langsung ke institusi pengajian tinggi – untuk membantu lulusan baru kita meneroka peluang kerjaya dan berhubung awal dengan majikan,” kata beliau.
Encik Wong berkata pihak CDC sudah pun mempunyai rangkaian kukuh dengan peniaga tempatan, syarikat kecil dan sederhana (SME) dan rakan masyarakat, lantaran itu, berada pada kedudukan yang baik untuk memadankan individu yang mencari kerja dengan kerja kosong.
Beliau menambah bahawa Mayor lima CDC itu akan berkongsi butiran lanjut tidak lama lagi.
Encik Wong turut menekankan kepentingan untuk terus membantu pekerja mempertingkat kemahiran, dengan mengumumkan dua peningkatan baru kepada Program Peningkatan SkillsFuture.
Diperkenalkan pada 2024 untuk menyokong rakyat Singapura pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas dalam peningkatan kemahiran, program itu akan dipertingkat untuk membolehkan sebahagian daripada elaun latihan dituntut bagi kursus sambilan.
Di samping itu, tawaran kursus di bawah program itu juga akan diperluaskan, dengan lebih banyak kursus yang ditawarkan pemimpin industri dan penyedia latihan privet.
Pada masa ini, kebanyakan kursus ditawarkan institut pengajian tinggi (IHL).
“Itulah sebabnya kita mesti terus membina ekonomi yang dinamik – yang mewujudkan pekerjaan yang baik dan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura.
“Kita mungkin tidak dapat menandingi negara lain dari segi saiz atau skala. Tetapi kita akan kekal di hadapan dalam idea, dalam inovasi, dan dalam kehendak kolektif kita untuk maju – bersama-sama sebagai satu rakyat yang bersatu,” kata Encik Wong.
SEKILAS PENGUMUMAN
Program pelatih dibiayai pemerintah
– Untuk lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti rebut peluang latihan
– Dimulakan secara lebih tertumpu, tetapi akan diperluaskan jika ekonomi tambah buruk
– Butiran lanjut akan dikongsi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) tidak lama lagi
Inisiatif pemadanan kerja baru di peringkat bandar
– Diterajui Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), bantu pencari kerja dipadankan dengan kerja kosong
– Butiran lanjut akan dikongsi tidak lama lagi
Dua peningkatan kepada Program Peningkatan SkillsFuture
– Sebahagian elaun latihan boleh dituntut bagi kursus sambilan
– Tawaran kursus diperluas, lebih banyak kursus yang ditawarkan pemimpin industri dan penyedia latihan privet
“
“Hari ini, syarikat terus menawarkan program pelatih. Namun, dengan sokongan pemerintah, mereka boleh tawarkan lebih banyak peluang latihan... Kami sedang mempertingkat khidmat pemadanan kerja. Kami akan membawa lebih banyak pameran kerjaya secara langsung ke institusi pengajian tinggi – untuk membantu lulusan baru kita meneroka peluang kerjaya dan berhubung awal dengan majikan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg