Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Group, Cik Tan Su Shan, merupakan salah seorang daripada tiga tokoh perniagaan Singapura yang memasuki senarai, 100 Wanita Paling Berkuasa di Dunia 2025 oleh Forbes.
Beliau menduduki tempat ke-29 dalam senarai yang dikeluarkan pada 10 Disember.
Dua lagi pemimpin wanita Singapura yang tersenarai ialah pengerusi Temasek Trust, Cik Ho Ching; dan rakan pengurusan kanan firma modal urus niaga, Granite Asia, Cik Jenny Lee, yang masing-masing berada di tempat ke-34 dan ke-96.
Cik Tan – yang pertama kali tersenarai – juga merupakan wanita pertama yang menerajui bank terbesar di Asia Tenggara, DBS.
Cik Tan, 57 tahun, mengambil alih peranan itu daripada mantan CEO DBS, Encik Piyush Gupta, pada Mac.
Sebelum dilantik sebagai CEO bank Singapura itu, Cik Tan mengetuai bahagian Perbankan Pengguna dan Pengurusan Kekayaan serta Perbankan Institusi di DBS.
Secara keseluruhan, kedua-dua bahagian itu menyumbang sekitar 90 peratus daripada pendapatan bank tersebut, lapor The Business Times (BT).
DBS mempunyai lebih 38,000 kakitangan serta beroperasi di 19 negara, dengan aset di bawah pengurusannya bernilai lebih AS$600 bilion (sekitar $775 bilion).
Menurut Forbes, Cik Tan dikenali dengan strateginya yang mengutamakan pendigitalan dan kini menerajui usaha menggunakan pendekatan baru melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan blok rantaian bagi melengkapi langkah keselamatan sedia ada dalam memimpin bank Asia Tenggara tersebut.
Sementara itu, Cik Ho, 72 tahun, memulakan kerjayanya sebagai pengarah Temasek Holdings pada 2002.
Kemudian, beliau mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Temasek Trust pada 2022.
Beliau juga merupakan isteri Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Sejak senarai itu diperkenalkan, usahawan wanita Singapura tersebut dikatakan antara empat wanita yang pernah tersenarai di dalamnya – bersama presiden Bank Pusat Eropah, Cik Christine Lagarde, dan dermawan Amerika, Cik Melinda Gates.
Manakala, menurut profil LinkedIn Cik Lee, 53 tahun, beliau menubuhkan perkongsian GGV Capital Asia pada 2005, yang kemudian dinamakan semula sebagai Granite Asia.
Beliau merupakan wanita pertama dalam bidang modal urus niaga yang berjaya menembusi kedudukan 10 teratas dalam Senarai Midas Forbes pada 2015.
Cik Lee menduduki tempat ke-86 dalam edisi 2019 senarai 100 Wanita Paling Berkuasa di Dunia Forbes.
Beliau sebelum ini pernah memegang peranan sebagai sekutu di Morgan Stanley dan naib presiden di firma modal urus niaga, Jafco Asia, di Hong Kong.
Cik Lee juga menganggotai beberapa lembaga pengarah institusi di Singapura termasuk Temasek, Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Singapura (LKYSPP).
Menurut Forbes, semua pemimpin wanita yang tersenarai pada 2025 itu secara keseluruhan mengurus pendapatan melebihi AS$4.9 trilion.
Mereka juga menggaji lebih 9.3 juta pekerja dan mempunyai pengaruh ke atas negara yang menyumbang lebih separuh daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sejagat.
Senarai penuh Forbes menampilkan wanita paling berkuasa dari 25 negara, dengan pemimpin wanita Amerika Utara mencatat bilangan terbesar dalam kalangan 50 nama yang tersenarai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg