Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO DBS yang bakal bersara terima gaji $17.6j pada 2024

Mar 6, 2025 | 2:42 PM
Sebahagian besar pakej gaji Encik Piyush Gupta pada 2024 datang daripada anugerah tertunda $9.36 juta yang akan dibayar kebanyakannya dalam bentuk saham.
Sebahagian besar pakej gaji Encik Piyush Gupta pada 2024 datang daripada anugerah tertunda $9.36 juta yang akan dibayar kebanyakannya dalam bentuk saham. - Foto REUTERS

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS yang akan bersara, Encik Piyush Gupta, menerima gaji keseluruhan sebanyak $17.58 juta pada 2024, lebih tinggi daripada yang didapatnya pada 2023, menurut laporan tahunan bank itu yang dikeluarkan pada 6 Mac.

Ini datang sedang bank itu mencapai prestasi rekod pada 2024 dengan keuntungan bersih setahun penuhnya meningkat 11 peratus kepada $11.4 bilion dan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 18 peratus.

Saham DBS naik 1 peratus kepada $46.09 pada pagi 6 Mac.

“Prestasi cemerlang bank itu, serta daya tahan teknologinya yang lebih baik, menghasilkan penilaian kad skor lebih tinggi oleh lembaga berbanding tahun sebelumnya (2023),” kata DBS dalam laporan itu.

Ia berkata ganjaran lebih tinggi buat Encik Gupta mengambil kira prestasi kad skor dan pemulihan pampasan berikutan pengurangan pada 2023, sebagai respons kepada pengurusan kanan mengambil tanggungjawab akan gangguan digital, lapor The Straits Times (ST).

Ini menyaksikan gaji Encik Gupta pada 2023 jatuh 27 peratus kepada $11.2 juta.

Berbanding pada 2022, gajinya pada 2024 meningkat 14 peratus daripada $15.4 juta pada tahun itu.

Sebahagian besar pakej gaji 2024 beliau datang daripada satu anugerah tertunda sebanyak $9.36 juta, yang akan dibayar kebanyakannya dalam bentuk saham.

Selebihnya terdiri daripada bonus tunai $6.65 juta, gaji pokok $1.5 juta dan bayaran lain sebanyak $80,533 yang terdiri daripada faedah kelab, kereta dan pemandu.

Pada Februari, Encik Gupta berkata bank itu merancang mengurangkan 4,000 kakitangan kontrak dan sementara sepanjang tiga tahun akan datang kerana kecerdasan buatan (AI) semakin menggantikan manusia.

“Kami perlu menerima sepenuhnya kemungkinan, yang sepatutnya membawa kepada pemikiran semula asas model operasi kami dan juga penciptaan model perniagaan baru,” kata Encik Gupta pada 6 Mac.

Mengimbas kembali kerjayanya, Encik Gupta berkata: “Dalam masa kurang sebulan, saya akan bersara daripada DBS selepas 15 tahun menerajuinya. Mengimbas kembali, ini, tanpa ragu-ragu, adalah bahagian paling memuaskan sepanjang kerjaya saya.”

Encik Gupta berkata beliau menyertai DBS pada November 2009, ketika perusahaan itu dilanda krisis kewangan sejagat.

Beberapa tahun kemudian, bank itu menghadapi saingan daripada fintech (teknologi kewangan) dan DBS mentakrifkan semula perbankan dengan memanfaatkan teknologi, katanya.

Mengenai faktor yang menjadikan transformasi digital DBS berjaya, Encik Gupta berkata bank itu mengubah “segala-galanya daripada seni bina teknologi di bahagian belakang kepada antara muka pelanggan di bahagian hadapan”.

Encik Gupta akan menyerahkan jawatannya kepada Cik Tan Su Shan, yang kini Timbalan CEO dan ketua kumpulan perbankan institusi, apabila beliau bersara pada mesyuarat agung tahunan seterusnya pada 28 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg