Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS akan kurangkan 4,000 tenaga kerja kontrak, sementara dalam tempoh 3 tahun

Feb 24, 2025 | 8:32 PM
DBS Group Holdings merancang mengurangkan sekitar 4,000 daripada tenaga kerja kontrak dan sementara mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
DBS Group Holdings merancang mengurangkan sekitar 4,000 daripada tenaga kerja kontrak dan sementara mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang. - Foto fail

DBS Group Holdings merancang untuk mengurangkan kira-kira 4,000 daripada tenaga kerja kontrak dan sementara mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang, berikutan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin banyak mengambil alih tugas yang sebelum ini dilaksanakan oleh kakitangan.

Bank terbesar di Asia Tenggara tersebut mempunyai kira-kira 8,000 hingga 9,000 kakitangan sedemikian, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Piyush Gupta, lapor The Business Times pada 24 Februari.

Beliau mengesahkan laporan daripada agensi berita, Press Trust of India, yang menyatakan bahawa bank tersebut akan mengurangkan tenaga kerjanya susulan penerapan AI yang lebih meluas dalam perniagaan mereka.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), seorang jurucakap DBS berkata:

“Pengurangan dalam tenaga kerja ini akan datang daripada susutan biasa apabila peranan pekerja sementara dan kontrak berakhir dalam beberapa tahun akan datang.”

Bank global akan mengurangkan 200,000 pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang apabila AI mula menggantikan tugas yang dijalankan oleh tenaga kerja manusia, kata lapor Bloomberg Intelligence (BI) pada Januari.

Ketua pegawai maklumat dan teknologi yang ditinjau untuk BI mengatakan bahawa secara purata mereka menjangka 3 peratus tenaga kerja mereka akan dipotong, menurut laporan itu.

Namun, banyak syarikat menekankan bahawa peralihan itu akan mengakibatkan perubahan peranan oleh teknologi, bukannya menggantikan peranan sepenuhnya.

Cik Teresa Heitsenrether, yang memantau usaha AI JPMorgan Chase, berkata pada November bahawa penerapan AI generatif oleh bank itu setakat ini adalah untuk memperkukuh pekerjaan.

Dalam pengumuman keputusan terbarunya, DBS berkata keuntungan bersih bagi suku keempat meningkat 11 peratus berbanding tempat sama pada 2023.

Keuntungan bersih untuk tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2024 ialah $2.52 bilion, berbanding dengan $2.27 bilion pada tempoh sama pada 2023, yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sekiranya tidak mengambil kira peruntukan sekali sahaja – komitmen tanggungjawab sosial korporat sebanyak $100 juta kepada DBS Foundation dan tujuan amal lain – keuntungan bersih suku keempat sepatutnya meningkat 10 peratus kepada $2.62 bilion.

Berikutan keputusan tersebut, penganalisis menaikkan harga sasaran dan anggaran dividen untuk DBS, meramalkan penilaian yang lebih tinggi pada masa depan.

Walaupun pendapatan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) sebanyak 1 peratus antara tahun kewangan (FY) FY2025 dengan FY2027, dividen dijangka berkembang pada kadar 7 peratus, memberikan pulangan lebih tinggi daripada 6.5 peratus, ujar Maybank.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg