Pengasas Sea, Encik Forrest Li, memberitahu pekerjanya bahawa permodalan pasaran bernilai satu trilion dolar – peningkatan sebanyak sekitar 10 kali ganda – boleh tercapai apabila peneraju e-dagang Asia Tenggara itu menyertai syarikat teknologi sejagat lain yang giat menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk pertumbuhan.
Dalam memo kepada kakitangan pada 20 Oktober, Encik Li membandingkan pertumbuhan pesat AI dengan revolusi komputer peribadi dan telefon pintar yang meluaskan akses pengguna kepada produk dan perkhidmatan yang sebelum ini hanya boleh dinikmati oleh golongan kaya.
Namun, Encik Li menegaskan bahawa langkah memanfaatkan nilai yang bakal dibawa AI itu tidak mudah bagi syarikat permainan ‘gaming’ dan e-dagang tersebut.
“Ini memerlukan kita membuat keputusan tepat, melaksanakannya dengan cemerlang, kekal berdisiplin tinggi dan bersaing tanpa henti,” katanya dalam memo itu sempena ulang tahun kelapan Sea tersenarai di pasaran saham.
Namun, peralihan teknologi seperti itu membuka peluang bagi Sea untuk menjadi syarikat bernilai satu trilion dolar, tambahnya.
Encik Li, yang sering menulis memo kepada lebih 80,000 pekerja Sea, kali ini menggunakan nada berbeza berbanding 2024, ketika beliau memberi amaran tentang peralihan sukar ke arah penggunaan AI.
Sejak itu, Sea telah mempergiat penggunaan teknologi dalam perniagaan, dengan menyepadukan AI dalam operasi harian terutama dalam bidang khidmat pelanggan dan permainan.
Di dalam memo tersebut, Encik Li turut menyentuh mengenai kenaikan harga saham syarikat itu, sambil menyatakan kebimbangan bahawa ia mungkin jatuh dengan pantas jika keadaan luar berubah – mengimbau kembali kejatuhan saham syarikat itu pada hujung 2021.
Menurut Encik Li, syarikat itu kini berada dalam kedudukan kewangan lebih baik berbanding dekad sebelumnya, dan tidak perlu bergantung kepada modal luar untuk membiayai pertumbuhan perniagaan.
“Meskipun keadaan luaran sentiasa tidak menentu, saya kini rasa lebih yakin mengenai masa depan kita,” tulis beliau.
Encik Li menambah bahawa Sea kini mencatat keuntungan dalam ketiga-tiga unit perniagaannya.
“Selepas lapan tahun disenaraikan sebagai syarikat awam, kita lebih memahami cara pasaran modal berfungsi serta cara menghadapinya.
“Oleh itu, meskipun keadaan menjadi sukar sekali lagi, kita mempunyai kawalan lebih baik terhadap keputusan dan hala tuju kita sendiri,” jelasnya.
Encik Li tidak mendedahkan butiran mengenai rancangan Sea untuk pembangunan lanjut AI, atau menjelaskan bagaimana syarikat itu akan menghadapi persaingan yang kian sengit.
Sea menghadapi cabaran daripada pesaing sejagat yang berkemampuan besar termasuk TikTok Shop milik ByteDance dan Lazada milik Alibaba Group Holding.
Pesaing terkini seperti Shein dan Temu milik PDD Holdings juga sedang berusaha menembusi pasaran Asia Tenggara – sebuah rantau dengan lebih 675 juta penduduk yang kini semakin giat berbelanja dalam talian.
Selain itu, Sea sedang meneroka pertumbuhan seterusnya di pasaran jauh dari tanah airnya, iaitu di Brazil.
Syarikat Singapura itu juga berusaha mengembangkan empayar dalam taliannya, Shopee.
Ia meletakkan pertaruhan pada inisiatif baru, daripada kewangan digital hingga kepada logistik, bagi mengukuhkan penguasaannya dan meyakinkan para pelabur tentang potensi pertumbuhannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg