Sea Singapura kembali menjadi syarikat tersenarai awam paling bernilai di Asia Tenggara, mengatasi DBS Group Holdings, selepas nilai sahamnya naik 300 peratus, hasil kejayaan Shopee, cabang perniagaan e-dagangnya.
Saham syarikat Internet itu naik 1.1 peratus di New York pada 25 Ogos dengan nilai pasaran AS$111 bilion ($143 bilion).
Pada 26 Ogos, gergasi perbankan serantau DBS menamatkan dagangan menyaksikan penurunan 0.6 peratus di Singapura, dengan penilaian bernilai AS$110.3 bilion.
Ia secara rasmi melepaskan kedudukan teratas untuk Sea.
Saham Sea telah meningkat lebih empat kali ganda sejak awal 2024 apabila para pelabur semakin yakin dengan kekuatannya di rantau ini.
Cabang e-dagang Sea, Shopee, telah mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju di Asia Tenggara, dengan semakin ramai pengguna beralih ke dalam talian untuk membeli pelbagai barangan, daripada iPhone hingga ke barang runcit harian.
Sea melaporkan jualan rekod yang melepasi jangkaan pada Ogos, menandakan kejayaannya menangkis pesaing kuat seperti TikTok milik ByteDance dan Lazada milik Alibaba Group Holding.
Pelaburan bertahun-tahun dalam tawaran dalam talian dan operasi penghantaran telah membantu Sea mengekalkan popularitinya, walaupun TikTok, Lazada, dan pemain baru seperti Temu terus menyasarkan pasaran yang mempunyai lebih 675 juta penduduk.
Sementara itu, langkah pemotongan kos yang ketat telah membantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sea, Encik Forrest Li, menjadikan syarikat itu memperoleh keuntungan.
Sea turut meletakkan harapan pada daya usaha baru seperti kewangan digital bagi meyakinkan pelabur tentang potensi pendapatan jangka panjangnya.
Senjata rahsianya adalah operasi logistik yang kurang dikenali, SPX Express, yang disokong oleh kalangan seperti suri rumah, pelajar dan pesara yang membuat penghantaran secara tetap dan boleh dipercayai di pasaran seperti Singapura.
Sementara itu, saham DBS meningkat 65 peratus sejak awal 2024 untuk mencapai tahap melepasi rekod.
Pemberi pinjaman terbesar Singapura itu berjanji akan membayar balik berbilion dolar kepada pelabur melalui peningkatan dividen dan pembelian balik saham selepas mencatat pendapatan kukuh daripada pinjaman dan pengurusan kekayaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg