HONG KONG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Standard Chartered, Encik Bill Winters, cuba menenangkan kakitangannya selepas kenyataan beliau mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggantikan “modal insan bernilai rendah” mencetuskan kecaman hebat di media sosial serta daripada seorang mantan ketua negara.

“Ramai daripada anda mungkin telah melihat laporan media menyusuli acara pelabur di Hong Kong, terutamanya laporan mengenai automasi, AI, dan perubahan tenaga kerja,” tulis Encik Winters dalam satu memo kepada kakitangannya pada 20 Mei.

“Saya tahu perkara ini mungkin membimbangkan apabila ia dipendekkan menjadi tajuk berita ringkas atau petikan yang dikeluarkan daripada konteks sebenar.”

Memo tersebut telah disahkan oleh seorang jurucakap Standard Chartered.

Kenyataan Encik Winters pada 19 Mei itu dibuat ketika bank yang berpangkalan di London itu mendedahkan rancangannya mengurangkan hampir 8,000 jawatan sokongan dalam tempoh empat tahun mendatang. 

Ini menjadikannya antara bank sejagat pertama yang menyatakan dengan jelas bagaimana ia menyasarkan penggunaan AI untuk mengurangkan jumlah pekerja.

“Ini bukan tentang pemotongan kos; ini mengenai, dalam beberapa kes, penggantian modal insan bernilai lebih rendah, dengan modal kewangan dan modal pelaburan yang sedang kami salurkan,” kata Encik Winters dalam satu taklimat, sambil menambah bahawa pekerja yang terjejas akan menerima “notis (awal) yang jelas dan baik”.

Namun, pemilihan frasa tersebut mengundang kecaman di media sosial dan di seluruh Asia, iaitu rantau yang menyumbang sebahagian besar daripada keuntungan bank berkenaan.

Antara pihak yang lantang mengkritik termasuk mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob. 

Dalam satu hantaran di Facebook, Puan Halimah mengecam istilah yang digunakan CEO berkenaan dan menyifatkannya sebagai “membimbangkan” apabila beliau menggambarkan pekerja dengan istilah “modal insan bernilai rendah”, yang begitu dingin.

Singapura dan Hong Kong merupakan hab utama bagi operasi sejagat Standard Chartered.

Dalam memo kepada kakitangan pada 20 Mei, Encik Winters menggunakan nada lebih prihatin sambil menekankan komitmen bank itu dalam membantu tenaga kerjanya melalui fasa peralihan tersebut.

“Kami akan terus melabur dalam teknologi, platform, dan automasi untuk menambah baik cara kami beroperasi, melayani pelanggan, dan meletakkan bank ini pada kedudukan terbaik untuk pertumbuhan jangka panjang,” kata Encik Winters. 

“Saya ingin menegaskan bahawa masa depan Standard Chartered bergantung kepada bakat, pertimbangan, hubungan, dan komitmen anda semua – rakan sekerja kami.”

Jurucakap Standard Chartered Singapura pada lewat 19 Mei berkata pihak bank menyedari keadaan tidak menentu yang timbul ekoran pengumuman pengurangan pekerja itu.

“Kami menyokong kakitangan kami dalam melalui perubahan ini dengan penuh rasa hormat dan keprihatinan.

“Sesetengah jawatan akan dikurangkan, ada yang akan berkembang, dan jawatan baharu juga akan diwujudkan.

“Apabila ada jawatan yang dimansuhkan selaras dengan perkembangan teknologi, keupayaan, dan keperluan pelanggan, kami akan memberi notis awal dan berbincang secepat mungkin, termasuk mengadakan rundingan mengenai peluang penempatan semula kerja.”

Pihak bank itu, bagaimanapun, tidak mengesahkan sama ada kakitangan di Singapura akan terjejas dengan pemberhentian kerja itu. – Agensi berita.