Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma minyak gagal bukti bekas pengarah sebabkan kerugian

Jun 5, 2025 | 5:48 PM
Goh Jin Hian, mahkamah
Foto fail menunjukkan Goh Jin Hian berada di luar mahkamah pada 20 September 2023. -  Foto SHIN MIN

Mahkamah Rayuan mendapati Goh Jin Hian, bekas pengarah syarikat pembekal bahan api marin yang tidak dapat bayar hutang (‘insolvent’), Inter-Pacific Petroleum (IPP), tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar AS$146 juta ($187.9 juta) berserta faedah sebagai pampasan bagi kerugian yang dialami firma itu.

Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Rendah yang mendapati Goh tidak berhak mendapat pelepasan daripada liabiliti, Divisyen Rayuan Mahkamah Tinggi menjelaskan bahawa “ia tidak boleh menjadi sebahagian daripada tugas pengarah untuk menyelia dan memantau bagi mengesan penipuan kecuali terdapat tanda-tanda amaran”, lapor The Straits Times (ST).

“Seorang pengarah mungkin pengawal, tetapi beliau bukan penyiasat forensik atau mata-mata gelap, melainkan ada tanda-tanda yang mendorongnya menyiasat,’’ menurut keputusan setebal 63 muka surat pada 5 Jun yang disampaikan oleh Hakim Kannan Ramesh, Hakim Divisyen Rayuan.

“Walaupun kami bersetuju dengan Hakim (Mahkamah Tinggi) bahawa Dr Goh telah melanggar tugas penjagaan kerana kejahilannya mengenai perniagaan dagangan kargo, IPP gagal menunjukkan... bahawa pelanggaran itu menyebabkan kerugian yang dipersoalkan,” kata Mahkamah Rayuan.

Goh, anak mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong, berkhidmat sebagai pengarah IPP dari 28 Jun 2011 hingga Ogos 2019.

Peguam Kanan, Encik Thio Shen Yi, daripada TSMP Law Corp, yang mewakili Goh, berkata keputusan terbaru itu merupakan penjelasan penting mengenai undang-undang berkaitan tugas pengarah.

“Dr Goh sentiasa menegaskan bahawa tugasnya tidak menyebabkan kerugian yang boleh dielakkan kepada IPP, dan kami percaya kebenarannya telah terbukti.

“Ini adalah keputusan penting yang mempunyai implikasi praktikal terhadap semua pengarah,” kata Encik Thio.

Deloitte & Touche, pengurus kehakiman IPP yang kemudian bertindak selaku pembubar, telah menyaman Goh untuk mendapatkan kembali kerugian AS$156 juta, menuduhnya gagal mengesan dan menghentikan pengeluaran dalam pembiayaan perdagangan antara Jun 2019 dengan Julai 2019 untuk urus niaga yang didakwa tidak wujud atau palsu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Aedit Abdullah, mendapati Goh tidak berhak mendapat pelepasan daripada liabiliti kerana “pelanggaran kewajipannya, antaranya adalah kejahilannya mengenai perniagaan perdagangan kargo IPP” yang menyebabkan “akibat buruk” kepada syarikat itu.

Goh telah merayu keputusan itu pada Februari 2024 yang mendapatinya bertanggungjawab atas pelanggaran tugas pengarah dan tugas berkanun serta kerugian yang dialami oleh IPP.

Dalam membenarkan rayuan Goh, Mahkamah Rayuan mendapati amaran yang dijadikan sandaran IPP sebenarnya bukan yang perlu dia siasat bagi membongkar penipuan dan mengelakkan kerugian yang berlaku”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg