CIMB Singapore menyaksikan permintaan kukuh daripada firma Singapura yang ingin meluaskan perniagaan, hasil pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
CIMB Singapore komited membantu perniagaan Singapura, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME), memanfaatkan peluang di JS-SEZ melalui huraian perbankan dan pasukan penasihat pakar mereka.
Encik Victor Lee, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasaran Meningkat dan Singapura CIMB, berkata: “Dengan sokongan pemerintah Singapura dan Malaysia bagi JS-SEZ, serta pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, JS-SEZ akan bermanfaat bagi SME Singapura, yang segolongan besar telah pun bekerjasama dengan CIMB Singapore untuk menguruskan akaun komersial atau korporat mereka.
“Maka mereka bertanya kami – ‘jika kami mahu melabur di JS-SEZ, apakah perkara pertama yang kami harus lakukan?’ Kami menjangka soalan serupa itu dan permintaan akan meningkat sepanjang satu atau dua tahun akan datang.”
Untuk menyokongnya, CIMB mempunyai enam cawangan daripada 28 di Johor yang menawarkan keupayaan dan kepakaran khusus untuk menyokong pertumbuhan di JS-SEZ.
Oleh itu, Bank CIMB mempunyai enam cawangan khusus, daripada 24 cawangannya di Johor, yang menawarkan perbankan komersial, yang boleh memberi nasihat, pengetahuan dan perkhidmatan terbaik buat pelanggan peniaga atau SME.
CIMB menawarkan ekosistem rantaian nilai menyeluruh, menghubungkan pelabur dengan pihak berkepentingan utama untuk memudahkan persediaan prasarana dan memastikan laluan lancar melalui proses kawal selia dan pentadbiran.
Diperkenal pada Julai 2023, JS-SEZ meliputi kawasan yang ditetapkan dalam perjanjian itu, termasuk Daerah Pembangunan Iskandar dan Pengerang di Johor, menurut kedua-dua pemerintah.
Malaysia dan Singapura akan mempromosi dan memudahkan pelaburan dalam 11 sektor: Perkilangan, logistik, jaminan makanan, pelancongan, tenaga, ekonomi digital, ekonomi hijau, khidmat kewangan, khidmat perniagaan, pendidikan dan kesihatan.
Encik Lee berkata: “Peranan utama CIMB di Johor ialah memberi sokongan nasihat. Misalnya, kami bekerja rapat dengan kedua-duanya, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Johor Bahru dan Singapura, untuk memudahkan komunikasi dan pelibatan antara mereka.
Beliau menarik perhatian bahawa terdapat minat dalam kalangan syarikat yang ingin melabur di Johor dan perniagaan utama yang menanyakan mengenai perkhidmatan CIMB ialah daripada industri perkilangan dan perkhidmatan, termasuk pejabat keluarga, disusuli dengan dagangan.
“Antara keprihatinan utama syarikat ialah tenaga kerja. Tetapi memandangkan Malaysia sebuah negara besar, Johor sedang giat mempromosi dan menarik bakat dari seluruh negara untuk datang dan bekerja di sana.
“Oleh itu, terdapat usaha bersepadu oleh kerajaan Malaysia untuk mencari sumber tenaga kerja. Kerajaan persekutuan juga menggalak rakyat Malaysia bekerja di JS-SEZ,” kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg