Citibank akan menutup cawangan terakhirnya di Singapura sedang ia memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan dalam talian dan menasihati pelanggan mewah di hab kekayaannya.
Bank Amerika Syarikat itu akan menutup cawangannya di Jurong East dan Pusat Citigold di bangunan CPF Jurong di 21 Jurong Gateway pada 12 Oktober.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah penggunaan platform digital, dalam talian dan layan diri yang lebih tinggi untuk aktiviti perbankan, katanya kepada pelanggan melalui e-mel pada 25 September.
Semua mesin juruwang automatik, mesin deposit tunai dan perkhidmatan deposit cek ekspres di cawangan Jurong East tidak akan disediakan lagi, kata bank itu, yang akan terus menawarkan perkhidmatan serupa di lokasi lain di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Citibank Singapura, Encik Brendan Carney, memberitahu The Straits Times (ST) sebelum ini bahawa bank itu merancang menutup baki cawangannya di mana pelanggan menjalankan transaksi mudah seperti mendepositkan wang tunai. Bank itu mempunyai 15 cawangan sedemikian pada 2019.
Jurucakap Citi Singapura berkata pada 25 September bahawa penutupan cawangan terakhir itu sejajar dengan strategi bank untuk “mengubah lokasi fizikal kami daripada cawangan transaksi kepada tiga pusat pengurusan kekayaan”.
“Pada masa yang sama, kami telah melabur dalam prasarana perbankan digital kami supaya hampir semua transaksi harian kini boleh dilakukan di Aplikasi Mudah Alih Citi,” kata jurucakap itu kepada ST.
Hanya 2 peratus daripada transaksi dilakukan secara peribadi di cawangan itu, tambahnya.
Pelanggan boleh melawat pusat kekayaan bank itu untuk pelbagai perkhidmatan secara peribadi, kata jurucakap itu lagi.
Citi kini mempunyai tiga pusat kekayaan di Singapura, yang merupakan salah satu daripada empat hab kekayaan global Citi, bersama-sama dengan Hong Kong, Amiriah Arab Bersatu dan London.
Bank itu melancarkan hab utamanya di 268 Orchard Road pada Disember 2020, diikuti dengan kemudahan di Parkway Parade pada Disember 2023 dan di Holland Village pada awal 2024.
Tempat-tempat ini sebahagian besarnya bagi pelanggan Citigold dengan aset sekurang-kurangnya $250,000 dan pelanggan Citigold Private Client, yang mempunyai aset boleh labur sebanyak $1.5 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg