OCBC Bank sedang membangunkan sebuah hab inovasi baru di Daerah Digital Punggol (PDD) sebagai sebahagian daripada pelaburan $500 juta.
Hab yang diberi nama OCBC Punggol itu dijadualkan siap pada suku pertama 2027, dan akan menempatkan hingga 4,000 pekerja bank itu, kebanyakannya daripada pasukan teknologinya, kata OCBC dalam satu kenyataan pada 18 September.
Ia akan menduduki lapan tingkat dalam sebuah kompleks bersepadu 12 tingkat yang akan juga menempatkan sebuah hotel 200 bilik dan ruang runcit, dan akan dihubungkan terus ke Institut Teknologi Singapura (SIT) berdekatan.
Pelaburan itu juga akan menyaksikan bank tersebut bekerjasama dengan SIT untuk menubuhkan Makmal Analitik dan Inovasi, memacu inovasi fintech dan membangunkan bakat masa depan, lapor The Straits Times.
Apabila siap, OCBC Punggol akan menjadi premis pejabat OCBC terbesar di luar Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan kedua terbesar selepas ibu pejabat bank itu di Chulia Street, kata ketua eksekutif kumpulan OCBC, Cik Helen Wong, pada majlis pelancaran OCBC Punggol pada 18 September.
“Visi JTC (Jurong Town Corporation) bagi PDD – iaitu memupuk ekosistem yang menggalak perkongsian dan inovasi kolaboratif – paling sesuai dengan kami,” tambahnya.
Terletak di 98 Punggol Way, OCBC Punggol akan disambungkan terus ke Hab Penemuan Chua Thian Poh SIT melalui sebuah jambatan merah.
Ia juga akan dihubungkan dengan universiti itu melalui kanopi besar di Campus Boulevard, iaitu laluan pejalan kaki sepanjang 800 meter yang menghubungkan seluruh daerah itu.
Kemudahan baru itu, yang akan dihubungkan dengan stesen MRT Punggol Coast yang akan datang, meliputi kira-kira 430,000 kaki persegi, atau sebesar kira-kira tujuh padang bola sepak.
Seramai 4,000 atau lebih pekerja yang akan berpangkalan di sana akan memberi tumpuan kepada teknologi baru muncul seperti pengkomputeran kuantum, kata OCBC.
Hab inovasi itu akan diselitkan dengan ciri berteknologi tinggi yang dikuasakan oleh teknologi audio visual, akses biometrik, aplikasi mudah alih dan alatan ruang kerja termaju yang lain.
Bangunan itu juga akan menjadi cekap tenaga dan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Ciri utama OCBC Punggol ialah perkongsian strategiknya dengan SIT.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian itu, Makmal Analitik dan Inovasi di SIT akan menawarkan peluang pembelajaran amali untuk pelajar dalam analisis kewangan dan aplikasi fintech.
Ia akan berfungsi sebagai hab untuk membangunkan inovasi fintech dan aplikasi dipacu kecerdasan buatan, membolehkan pelajar menggunakan pengetahuan teori mereka dalam cabaran dunia sebenar.
Jangkauan pendidikan, seperti bengkel mengenai celik kewangan, perancangan kewangan dan perancangan persaraan, akan dilakukan di makmal sebagai sebahagian daripada penglibatan OCBC dan SIT dengan penduduk Punggol dan usaha pembangunan masyarakat.
OCBC juga akan menawarkan lima biasiswa bebas bon setiap tahun kepada mahasiswa SIT, bernilai $11,000 setiap satu, bersama latihan amali (internship) di bank itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg