NEW YORK: Agensi berita CNN, sebuah unit di bawah Warner Bros Discovery, sedang dalam perancangan untuk memberhentikan ratusan pekerja pada 23 Januari, ketika ia alihkan tumpuan perniagaan kepada audiens digital global, lapor CNBC pada 22 Januari.
Pemotongan pekerjaan ini berlaku ketika CNN merancang untuk menyusun semula barisan TV linear dan membangunkan produk langganan digital, sambil menambah langkah itu akan membantunya mengurangkan kos produksi dan menyatukan pasukan, kata CNBC.
Beberapa rancangan yang dihasilkan di New York atau Washington mungkin dipindahkan ke Atlanta, dengan pengeluaran boleh dilakukan dengan lebih murah, tambah laporan itu.
Syarikat NBC News, yang dimiliki Comcast, juga merancang pemotongan pekerjaan akhir minggu ini, menurut laporan itu.
Walaupun tiada angka jelas, pemberhentian itu dijangka kurang daripada 50 orang.
Comcast dan Warner Bros Discovery tidak secara segera membalas permintaan Reuters untuk mengulas mengenai laporan itu.
The Washington Post, yang dimiliki oleh pengasas Amazon.com, Encik Jeff Bezos, mengatakan pada awal Januari bahawa ia akan memberhentikan kira-kira 4 peratus daripada tenaga kerjanya atau kurang daripada 100 pekerja dalam usaha mengurangkan kos, sedang akhbar terkenal itu berdepan dengan kerugian yang semakin meningkat.
Pada November, Associated Press (AP) berkata ia akan mengurangkan sekitar 8 peratus daripada tenaga kerjanya bagi memodenkan operasi dan produknya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg