Pengendali teksi terbesar Singapura, ComfortDelGro (CDG), pada 1 September membeli kesemua baki saham CityCab yang belum dimilikinya daripada ST Engineering Land Systems pada harga $116.3 juta.
CityCab sebelum ini merupakan usaha sama antara CDG, yang memegang 53.5 peratus saham, dan unit ST Engineering, yang memiliki baki 46.5 peratus saham.
Kini, CityCab menjadi anak syarikat milik penuh CDG yang tersenarai di papan utama bursa.
CDG telah menguruskan CityCab sejak 2005 sebagai sebahagian daripada perniagaan teksi tempatan miliknya, lapor The Business Times (BT).
CityCab bermula pada 1995 hasil penggabungan operasi teksi kendalian bekas Singapore Bus Service dan Singapore Technologies Automotive, yang kemudian digabungkan menjadi ST Engineering pada 1997.
Dalam satu kenyataan, CDG menyatakan:
“Pemilikan penuh (Citycab) akan mengukuhkan perniagaan utama syarikat ini dalam khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) di Singapura.
“Ia juga membolehkan syarikat ini menyepadukan dan membentuk perniagaan khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat di peringkat sejagat dengan lebih baik.
“Dengan ini, ia dapat menyesuaikan operasi seiring permintaan pasaran dan meningkatkan sumbangan keuntungan.”
CDG menjangkakan pemerolehan tersebut akan menambah keuntungan syarikat.
Berdasarkan laporan yang ditugaskan bersama oleh CDG dan ST Engineering kepada Deloitte & Touche Financial Advisory Services, yang disiapkan pada 25 Ogos, kedua-dua pihak bersetuju dengan penilaian $98.9 juta bagi harga jualan saham tersebut setakat 1 Jun, sebelum mencapai angka muktamad $116.3 juta.
Jumlah tersebut telah dibayar sepenuhnya dan dibiayai melalui kemudahan bank CDG.
ST Engineering menambah bahawa bahagiannya daripada keuntungan bersih CityCab bagi 2024 berjumlah $8.7 juta.
Syarikat Grab telah diberi lesen pengendali teksi jalanan iaitu perkhidmatan teksi yang didapatkan di jalan raya atau perhentian teksi pada April.
Lesen tersebut diberikan kepada GrabCab, anak syarikat GrabRentals.
Langkah Grab memasuki industri teksi menjadikannya pengendali teksi keenam di Singapura, selepas Comfort, CityCab, Trans-Cab, Strides Premier dan Prime.
Terdapat sekitar 13,000 teksi di Singapura, tidak termasuk teksi Grab.
Menurut angka Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Januari, Comfort, yang dimiliki ComfortDelGro Taxi, mempunyai 6,257 teksi.
CityCab mempunyai 2,063 teksi, manakala Trans-Cab pula memiliki 2,077 teksi.
Hasil daripada penggabungan antara Strides Taxi dengan Premier Taxi pada 2023, Strides Premier mempunyai gabungan 2,044 teksi.
Prime Taxi adalah pengendali teksi terkecil di Singapura dengan 545 teksi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg