Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grab diberi lesen sebagai pengendali teksi 

Syarikat diberi masa tiga tahun untuk perluas bilangan kenderaan bagi penuhi syarat minimum 800 teksi
Apr 2, 2025 | 4:04 PM
GrabCab akan mempunyai masa tiga tahun untuk memperluaskan bilangan teksinya secara berperingkat kepada 800 teksi.
GrabCab akan mempunyai masa tiga tahun untuk memperluaskan bilangan teksinya secara berperingkat kepada 800 teksi. - Foto ST

Syarikat Grab telah diberi lesen pengendali teksi jalanan (perkhidmatan teksi yang didapatkan di jalan raya atau perhentian teksi), membolehkannya menjadi pengendali teksi keenam di Singapura. 

Lesen tersebut, yang diberikan kepada GrabCab, anak syarikat GrabRentals, akan bermula pada 9 April dan sah selama 10 tahun, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2 April. 

Di bawah lesen tersebut, GrabCab diberi tempoh tiga tahun untuk memperluas bilangan kenderaannya secara berperingkat, bagi memenuhi syarat minimum 800 teksi, lapor The Straits Times (ST).

LTA berkata kemasukan GrabCab ke industri teksi jalanan akan memberi lebih banyak pilihan kepada pemandu dan penumpang serta dijangka meningkatkan bekalan teksi. 

Pihak berkuasa itu turut menambah bahawa GrabCab perlu mematuhi syarat lesen, termasuk memenuhi piawaian keselamatan LTA dan memastikan perjanjian dengan pemandu bersifat tidak eksklusif. 

GrabCab juga mesti memastikan teksinya mudah dikenali oleh pelanggan di jalanan dengan penanda di bumbung kenderaan jelas kelihatan dan skim warna khas.

Model kenderaan GrabCab mesti diluluskan LTA dan memenuhi syarat seperti mempunyai ruang bagasi yang cukup untuk membawa kerusi roda lipat atau bagasi.

Perkhidmatan teksi jalanan GrabCab juga perlu mengikut struktur tambang teksi yang sama seperti pengendali teksi lain dan memaparkan tambang tersebut dengan jelas kepada penumpang. 

Grab berkata lesen ini membolehkan mereka memenuhi permintaan pengguna yang belum dapat dipenuhi dan meningkatkan ketersediaan pengangkutan pada waktu sibuk dan lewat malam.

Dalam beberapa bulan akan datang, Grab menambah bahawa mereka akan menampilkan kenderaan GrabCab jenis hibrid dan elektrik yang popular daripada pengeluar terkemuka.

Ini bukan kali pertama Grab mencuba untuk memasuki pasaran teksi. 

Tawaran mereka pada 2023 untuk membeli pengendali teksi Trans-Cab dibatalkan pada 2024, selepas badan pengawas persaingan Singapura mengeluarkan keputusan sementara bahawa pengambilalihan itu berkemungkinan menyebabkan pengurangan persaingan yang ketara dalam pasaran e-panggilan.

E-panggilan ialah penempahan khidmat pengangkutan secara dalam talian melalui aplikasi tertentu.

Langkah terbaru Grab untuk memasuki industri teksi ini akan menjadikannya pengendali teksi keenam di Singapura, selepas Comfort, CityCab, Trans-Cab, Strides Premier dan Prime.

Lima pengendali teksi ini mengendalikan sekitar 13,000 teksi di Singapura. 

Comfort, yang dimiliki oleh ComfortDelGro Taxi, mempunyai 6,257 teksi, menurut angka terkini yang dikeluarkan oleh LTA pada Januari.

Ia telah beroperasi sejak 1970.

CityCab, yang juga dimiliki oleh ComfortDelGro Taxi, mempunyai 2,063 teksi dan telah memulakan operasi pada 1995.

Trans-Cab, yang beroperasi di Singapura sejak 2003, mempunyai 2,077 teksi.

Hasil daripada penggabungan antara Strides Taxi dan Premier Taxi pada 2023, Strides Premier mempunyai gabungan 2,044 teksi. 

Prime Taxi, yang dikendalikan kumpulan motor Prime, adalah pengendali teksi terkecil di Singapura dengan 545 teksi, termasuk sejumlah besar teksi limousin.

Ia memulakan operasi pada 2007.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg