Bank darah tali pusat swasta, Cordlife, sedang menilai risiko dan ketidakpastian yang boleh menjejas keupayaannya untuk terus beroperasi, berikutan kemungkinan berdepan penggantungan selama setahun, kata syarikat itu dalam satu pemfailan bursa pada 1 Oktober.
Kementerian Kesihatan (MOH) pada 29 September telah mengeluarkan Notis Niat kepada Cordlife untuk menggantung khidmat penyimpanan darah tali pusat syarikat itu selama setahun, selepas audit pada Julai menemui kelemahan dalam operasi syarikat.
Notis tersebut mengarahkan Cordlife agar menghentikan pengumpulan, ujian, pemprosesan dan penyimpanan unit darah tali pusat baru.
Darah tali pusat mengandungi sel tunjang yang boleh digunakan untuk merawat penyakit darah dan beberapa jenis barah – seperti leukemia dan limfoma – sekiranya bayi berkenaan menghidap penyakit tersebut pada masa akan datang.
Syarikat itu diberi masa 14 hari untuk mengemukakan pernyataan bertulis kepada MOH, lapor The Business Times (BT).
Bank darah tali pusat swasta itu turut menyatakan ia tidak dapat menentukan kesan langkah tersebut terhadap prestasinya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Sekiranya penggantungan itu berkuat kuasa, syarikat tersebut berkata ia perlu terus menanggung yuran tetap dan perbelanjaan operasi lain, meskipun kegiatan perniagaan dihentikan.
Tekanan operasi dan kewangan, serta aliran keluar tunai yang ditanggung bagi bayaran balik kepada pelanggan, mungkin menjejas kecairan syarikat, jelas Cordlife.
Selain itu, terdapat ketidaktentuan dalam keupayaannya untuk terus menerima bayaran daripada pelanggan yang tidak terjejas di bawah pelan bayaran tertunda bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Syarikat itu menambah bahawa kelewatan, kekurangan atau kegagalan pembayaran sedemikian boleh menjejas kecairannya.
Menurut Cordlife, pada masa ini ia tidak dapat menentukan jumlah aliran keluar tunai yang mungkin diperlukan bagi beberapa perkara.
Perkara tersebut termasuk kemungkinan bayaran balik yang mungkin timbul daripada hasil siasatan terhadap keputusan ujian sampel tangki penyimpanan.
MOH telah mengarahkan Cordlife agar menjalankan siasatan penuh terhadap keputusan ujian tersebut.
Arahan itu menyusuli semakan MOH yang mendapati sampel tiga daripada lima tangki penyimpanan Cordlife gagal memenuhi kriteria kebolehhidupan dan potensi darah tali pusat.
Selain itu, Cordlife juga perlu meneliti kewangan yang mungkin diperlukan bagi perkara lain, termasuk tuntutan semasa oleh pelanggan yang mendakwa unit darah tali pusat mereka rosak, tuntutan yang mungkin timbul pada masa akan datang, serta denda atau penalti yang mungkin dikenakan ke atas syarikat itu berikutan penggantungan tersebut.
Cordlife berkata penilaian terhadap keupayaannya untuk terus beroperasi dijangka akan selesai menjelang akhir minggu ini dan syarikat itu akan memberi perincian selepas tempoh tersebut.
Cordlife mencatat kerugian bersih $4.6 juta bagi separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada Jun.
Ia merupakan satu penurunan ketara daripada kerugian $12.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2024.
Pendapatan syarikat meningkat 108.8 peratus kepada $19.2 juta, seiring dengan penyambungan penuh operasi syarikat itu di Singapura pada Januari, selepas digantung hampir sembilan bulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg