Warga Singapura mengetepikan dana untuk meningkatkan jaringan keselamatan persaraan mereka, menurut laporan tahunan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) 2024.
Ia mendapati lebih ramai pencarum yang mencapai usia 55 tahun pada 2024 telah mengetepikan Jumlah Persaraan Diperlukan berbanding pada 2023.
Sementara itu, pembayaran persaraan naik melebihi $4 bilion pada 2024, manakala jumlah lebihan simpanan yang dikeluarkan oleh pencarum berumur 55 tahun ke atas meningkat tetapi kekal di bawah paras tertinggi pada 2022.
Menurut The Straits Times, terdapat 39,000 pencarum aktif yang mencapai usia 55 tahun pada 2024, dengan 70 peratus daripada kohort tersebut mengetepikan Jumlah Persaraan Diperlukan – meningkat daripada 67.6 peratus pada 2023.
Pencarum ini sama ada mempunyai Jumlah Persaraan Penuh (FRS) dalam simpanan CPF, atau mempunyai sekurang-kurangnya Jumlah Persaraan Asas (BRS) dan turut memiliki hartanah.
Peneraju Penyelesaian di firma penasihat Providend, Encik Bryan Chan, mendapati data itu menunjukkan peningkatan secara tekal daripada 63.6 peratus pada 2020 kepada 70.5 peratus pada 2024.
Menurut Ketua Eksekutif firma penasihat SingCapital, Encik Alfred Chia, kurang daripada separuh pencarum CPF memenuhi FRS sedekad lalu, jadi angka itu telah menunjukkan banyak peningkatan.
Jumlah persaraan digunakan untuk menyertai CPF Life, yang memberikan pencarum bayaran bulanan seumur hidup, bermula bila-bila masa dari umur 65 hingga 70 tahun.
Laporan itu juga menyatakan bahawa $4.4 bilion telah diagihkan kepada pencarum sebagai pembayaran persaraan – naik 29.4 peratus daripada $3.4 bilion pada 2023.
Ini bersamaan dengan purata sekitar $624 sebulan bagi setiap 588,000 pencarum yang layak menerima pembayaran, meningkat daripada $552 pada 2023 dan $532 pada 2022.
Encik Chan menambah bahawa simpanan CPF boleh ditambah dengan aliran pendapatan lain untuk peruntukan persaraan yang lengkap.
Sesetengah pencarum CPF mungkin telah menambah nilai hanya kepada BRS kerana mereka memiliki hartanah, jadi pembayaran mereka akan lebih rendah, tetapi mereka mempunyai “bumbung” tempat berlindung, kata Encik Chan.
Menurutnya, terdapat bantuan kewangan lain untuk mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih sukar.
Perbelanjaan perubatan boleh diberi subsidi atau dilindungi skim seperti MediShield Hayat dan MediFund.
Pemerintah juga menyediakan bantuan dengan perbelanjaan sara hidup seperti baucar ComCare dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Sistem CPF cukup fleksibel bagi membolehkan mereka yang berumur 55 tahun ke atas mengeluarkan wang mereka untuk keperluan tunai segera.
Pencarum yang telah memenuhi FRS boleh mengeluarkan lebihan simpanan dalam Akaun Biasa (OA), manakala mereka yang sukar memenuhi FRS, atau BRS dengan hartanah, masih boleh mengeluarkan sehingga $5,000.
Pencarum yang telah memenuhi FRS boleh membuat seberapa banyak pengeluaran yang mereka suka, oleh itu, mereka tidak perlu terburu-buru mengeluarkan semua wang mereka sekali gus.
Terdapat $8.4 bilion dalam pengeluaran sedemikian pada 2024, meningkat 3.7 peratus daripada $8.1 bilion pada 2023, tetapi masih di bawah paras tertinggi $8.8 bilion pada 2022.
Walaupun tujuan utama CPF adalah bagi persaraan, ia juga direka untuk memenuhi keperluan perumahan dan penjagaan kesihatan rakyat.
Para pencarum menggunakan $25.8 bilion daripada OA mereka untuk perumahan pada 2024 – naik 0.8 peratus daripada $25.6 bilion pada 2023.
Kadar faedah telah turun, dan pemilik rumah boleh meminjam pada kadar tetap serendah 2.2 peratus, kata Encik Chia.
Pembeli rumah yang mengambil pinjaman perumahan pada kadar 2.2 peratus, sambil meninggalkan simpanan di OA untuk memperoleh faedah 2.5 peratus, meraih keuntungan 0.3 peratusan mata.
Terdapat 4.2 juta pencarum CPF pada 31 Disember 2024, dengan jumlah baki $609.5 bilion.
Mereka memperoleh faedah $22.4 bilion bagi simpanan mereka, naik 6.7 peratus daripada $21 bilion pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg