Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fahami agihan, kadar sumbangan CPF yang berubah ikut usia

Ia sistem jaminan sosial yang bantu pencarum simpan dana untuk pelbagai guna
May 25, 2025 | 5:30 AM
Ketua Pegawai Pelaburan Endowus, Encik Hugh Chung, berkongsi bagaimana sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berubah mengikut usia.
Ketua Pegawai Pelaburan Endowus, Encik Hugh Chung, berkongsi bagaimana sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berubah mengikut usia. - Foto ENDOWUS

Hidup di Singapura, ramai antara anda pasti sudah tidak asing lagi dengan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Walaupun sesetengah orang melihatnya sebagai skim ‘simpanan paksa’, CPF sebenarnya adalah sistem jaminan sosial yang membolehkan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang bekerja menyimpan dana terutama bagi persaraan mereka serta untuk kesihatan, pemilikan rumah, perlindungan keluarga dan peningkatan aset.

Kadar sumbangan dan peruntukan CPF berubah sepanjang hayat

Seiring usia anda meningkat, kadar sumbangan dan peruntukan CPF akan berubah untuk membantu anda melalui pelbagai peringkat kehidupan.

Kadar sumbangan adalah tetap – 20 peratus daripada gaji anda dipindahkan ke CPF, dengan majikan anda menyumbang tambahan 17 peratus dan peratusannya akan menurun selepas anda berumur 55 tahun.

Namun, kadar peruntukan sentiasa berubah.

Semakin usia anda meningkat, peratusan untuk Akaun Biasa (OA) akan berkurang secara beransur-ansur, manakala peruntukan untuk Akaun Khas (SA) dan Akaun Medisave (MA) akan mula meningkat, mencapai paras tertinggi pada usia 55 tahun.

35 tahun ke bawah: Pengumpulan OA untuk rumah pertama

Untuk 10-15 tahun pertama kerjaya, anda akan menerima 37 peratus daripada gaji (hingga had $6,000) ke dalam CPF setiap bulan. 

Sebahagian besar sumbangan ini akan dimasukkan ke dalam Akaun Biasa (OA) untuk membiayai rumah, termasuk wang pendahuluan dan ansuran bulanan.

35-50 tahun: Peralihan keperluan usia yang semakin meningkat

Apabila anda mencapai 35 tahun, peratusan peruntukan akan berubah secara beransur-ansur, dengan lebih sedikit dana dimasukkan ke dalam OA, dan lebih banyak ke dalam Akaun Khas (SA) dan Akaun MediSave (MA) untuk keperluan persaraan dan perubatan.

Bagi membantu anda lebih bersedia untuk persaraan dan menjaga keperluan perubatan, MA dan SA memberikan faedah tahunan sebanyak 4 peratus.

50-55: Persediaan untuk Pengeluaran CPF Pertama

Selepas anda berumur 50 tahun, lebih banyak simpanan CPF anda akan diperuntukkan ke dalam Akaun Khas (SA) berbanding Akaun MediSave (MA). 

Ini adalah tahun-tahun kritikal untuk mengumpul simpanan persaraan kerana SA anda akan ditutup apabila anda mencapai umur 55 tahun dan Akaun Persaraan (RA) yang baru akan diwujudkan. 

Ini juga adalah umur dengan simpanan RA anda akan menentukan jumlah yang boleh anda keluarkan daripada CPF LIFE, skim anuiti insurans kebangsaan kita.

Selain itu, persediaan untuk masalah perubatan menjadi lebih penting seiring usia, dengan peruntukan untuk MA meningkat kepada 10.5 peratus selepas 50 tahun dan kekal begitu sepanjang hayat.

55-60: Penurunan Pertama dalam Sumbangan CPF

Apabila anda berumur 55 tahun, sumbangan CPF anda akan mengalami penurunan pertama kepada 32.5 peratus. 

Penurunan ini dipinda dalam Belanjawan 2025 kepada 34 peratus mulai 2026 bagi memperkukuh kestabilan persaraan untuk pekerja senior. 

Sebelum 55 tahun, kadar sumbangan kekal pada 37 peratus daripada gaji anda.

Penurunan kadar sumbangan ini memberi anda lebih banyak wang tunai yang boleh digunakan untuk keperluan kecemasan.

Apabila anda mencapai 65 tahun, anda boleh memilih untuk memulakan bayaran bulanan CPF LIFE.

Siling gaji bulanan CPF yang lebih tinggi beri manfaat kepada anda

Siling gaji bulanan CPF direka untuk memastikan bahawa walaupun pendapatan yang lebih tinggi menyumbang bahagian yang adil untuk simpanan persaraan mereka, terdapat had pada sumbangan wajib.

Keseimbangan ini membolehkan individu mempunyai pendapatan yang cukup untuk keperluan segera mereka, sambil tetap bersedia untuk masa depan.

Peningkatan secara berperingkat pada siling gaji bulanan CPF yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 secara am memberi manfaat, terutama dari segi persaraan.

Walaupun siling gaji bulanan CPF yang lebih tinggi mengurangkan gaji dibawa pulang, ia mempercepatkan perkembangan simpanan persaraan anda, memastikan jumlah CPF yang lebih sihat untuk persaraan. 

Sumbangan tambahan juga berguna jika anda sukar untuk berdisiplin dalam simpanan, dengan faedah 2.5 peratus yang bebas risiko, yang boleh digunakan untuk pinjaman perumahan, hartanah, perlindungan dan pendidikan.

Bagi individu yang mencari pulangan lebih tinggi untuk simpanan Akaun Biasa (OA) anda, pembayaran tambahan ini boleh juga dilaburkan di bawah Skim Pelaburan CPF (CPF-IS) bagi mereka yang mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi atau yang ingin mengatasi inflasi dalam jangka panjang.

Dapat capai matlamat persaraan

Selepas membayar keperluan perumahan, insurans dan perubatan anda, adalah penting menyimpan jumlah wang yang mencukupi untuk persaraan di luar simpanan CPF anda, dan tidak mengambil mudah bahawa simpanan CPF kita akan mencukupi untuk menampung semuanya. 

Dengan membina simpanan persaraan secara proaktif bersama CPF, anda akan berasa lebih yakin untuk menghadapi tahun-tahun persaraan dengan rasa selamat dan damai, serta kebebasan kewangan untuk mengejar gaya hidup persaraan ideal anda.

Penulis ialah Ketua Pegawai Pelaburan Endowus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg