Dana Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) yang tersenarai di Singapura dan memiliki pusat membeli-belah The Paragon di Orchard Road telah menerima tawaran pengambilalihan berjumlah $2.78 bilion daripada pemegang saham utamanya.
Cuscaden Peak Investments – yang dahulu dikenali sebagai Singapore Press Holdings (SPH) – bersama pengurus Paragon Reit bercadang menswastakan dan menarik balik penyenaraian Reit tersebut seperti yang diumumkan pada 11 Februari.
Paragon Reit kini memiliki pusat membeli-belah Paragon, The Clementi Mall, dan Westfield Marion Shopping Centre di Australia Selatan.
Cuscaden Peak Investments bercadang membeli Paragon Reit dengan harga $2.78 bilion, atau 98 sen setiap unit, yang 7.1 peratus lebih tinggi daripada nilai aset bersih Paragon Reit, lapor The Straits Times.
Harga tawaran juga 34.2 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran Reit runcit Singapura yang serupa dan 8.3 peratus lebih tinggi berbanding harga purata Paragon Reit dalam lima tahun terakhir, menurut kenyataan tersebut.
Pengagihan tunai sebanyak 2.33 sen setiap unit untuk separuh kedua 2024 juga telah diumumkan, dan ia tidak akan mempengaruhi harga tawaran pengambilalihan.
Pihak yang membuat tawaran berkata Paragon Reit menghadapi cabaran disebabkan aktiviti dagangan yang rendah, kurang perhatian daripada penganalisis, dan lebih sedikit pelabur institusi berbanding Reit runcit lain di Singapura.
Ini menyukarkan Reit itu untuk mendapatkan dana bagi pengembangan dan pengubahsuaian hartanah seperti pusat membeli-belah Paragon yang berusia 30 tahun, yang menyumbang 72 peratus daripada nilai Reit.
Paragon menghadapi lebih banyak persaingan daripada pusat beli-belah mewah lain di Orchard Road yang sedang dinaik taraf atau dibangunkan semula, seperti Ming Arcade, Tanglin Shopping Centre, Forum The Shopping Mall, voco Orchard Singapore dan HPL House.
Selain itu, ia terkesan dengan penurunan perbelanjaan mewah selepas pandemik.
Pihak yang membuat tawaran merancang mengubahsuai Paragon secara berperingkat untuk memastikan daya saingnya, termasuk menaik taraf fasad, dalaman, dan kemudahan tanpa perlu menutup pusat membeli-belah sepenuhnya.
Kerja-kerja pengubahsuaian dijangka menelan kos antara $300 juta dan $600 juta, dan akan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disiapkan.
Pelaburan ini akan mewakili 10 hingga 21 peratus daripada nilai anggaran Paragon pada 2024.
Ia turut menambah bahawa aset lain Paragon Reit, The Clementi Mall dan Westfield Marion, yang menyumbang 28 peratus daripada nilai keseluruhan Reit, terlalu kecil untuk menampung kesan pengubahsuaian pusat membeli-belah Paragon.
Tawaran ini memerlukan pindaan kepada Perjanjian Amanah Paragon Reit, yang perlu diluluskan oleh sekurang-kurangnya 75 peratus pemegang unit yang mengundi dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan pada April.
Tawaran ini juga perlu diluluskan oleh lebih daripada 50 peratus pemegang unit, yang mewakili sekurang-kurangnya 75 peratus daripada nilai unit yang dimiliki, dalam mesyuarat untuk meluluskan pelan tersebut.
Cuscaden Peak dan anak-anak syarikatnya, yang memegang 61.5 peratus dalam Paragon Reit, tidak akan mengundi.
Mesyuarat EGM dan skim dijangka akan diadakan pada April 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg