Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Second Chance kini hampir diswastakan

Selepas hampir semua saham syarikat dimiliki pemilik, keluarga
Sep 13, 2024 | 2:36 PM
Pada Julai, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Mohamed Salleh Marican, dan keluarganya, telah melancarkan tawaran tanpa syarat secara sukarela untuk menjadikan syarikat itu milik persendirian pada $0.30 sesaham secara tunai.
Pada Julai, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Mohamed Salleh Marican, dan keluarganya, telah melancarkan tawaran tanpa syarat secara sukarela untuk menjadikan syarikat itu milik persendirian pada $0.30 sesaham secara tunai. - Foto fail

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Mohamed Salleh Marican, dan keluarganya, akan membuat pengambilalihan wajib semua saham syarikat itu.

Sehingga 6 petang pada 12 September, jumlah saham yang dimiliki, dikawal atau dipersetujui untuk diambil alih oleh Encik Salleh dan keluarganya, serta penerimaan yang sah terhadap tawaran itu, berjumlah 915 juta saham.

Ini mewakili kira-kira 98.62 peratus daripada jumlah keseluruhan saham Second Chance Properties yang ditawarkan.

Pada Julai, Encik Salleh dan keluarganya melancarkan tawaran tanpa syarat secara sukarela untuk menjadikan syarikat itu milik persendirian pada $0.30 sesaham secara tunai.

Di bawah peraturan penyenaraian Bursa Saham Singapura (SGX), untuk memastikan pasaran yang teratur, pemberi tawaran mesti mengekalkan kaedah free-float, atau apungan bebas iaitu jumlah saham yang disediakan kepada pihak awam – sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 10 peratus saham yang dipegang oleh pihak tersebut.

Tujuan keperluan tersebut adalah untuk menyediakan pasaran sekunder atau tambahan yang teratur dalam sekuriti semasa dagangan dan untuk mengelakkan situasi yang mana saham boleh dimanipulasi atau dipaksakan.

Memandangkan lebih daripada 90 peratus saham Second Chance Properties telah atau akan diambil alih, syarikat itu tidak lagi memenuhi keperluan apungan bebas atau free-float SGX.

Ini bermakna pemilik Second Chance Properties boleh menjadikan syarikat itu milik persendirian dan ia boleh melaksanakan haknya untuk pemerolehan wajib pada masa akan datang.

Tertakluk kepada penyempurnaan pemerolehan wajib, pemberi tawaran bercadang untuk membuat permohonan kepada SGX untuk menyahsenarai syarikat itu, pada tarikh yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 13 September, Encik Salleh berkata beliau tidak dapat mengulas buat masa ini disebabkan proses penyahsenaraian syarikatnya masih berlangsung dan agar pemegang saham tidak terpengaruh dengan kata-katanya.

Difahamkan, proses penyahsenaraian syarikat Second Chance Properties akan mengambil masa kira-kira sebulan lebih untuk selesai.

Pemegang saham yang belum menerima tawaran $0.30 sesaham mempunyai masa sehingga 5.30 petang pada 27 Sep untuk berbuat demikian.

Ketika tawaran penswastaan ​​pertama kali diumumkan, Encik Salleh dan keluarganya berkata saham syarikat mempunyai kecairan dagangan yang rendah dan ia telah menanggung kos berkaitan mengekalkan status penyenaraiannya yang boleh dielakkan jika dinyahsenarai.

Mereka juga ingin terus membangun dan mengembangkan perniagaan sedia ada dan tawaran tersebut memberikan pemegang saham “peluang keluar tunai bersih” untuk mencapai pelaburan mereka pada harga premium tanpa menanggung kos pembrokeran dan dagangan lain.

Second Chance telah disenaraikan di papan utama SGX pada 2004 dan perniagaan terasnya termasuk pelaburan hartanah, peruncitan pakaian dan barang kemas serta pelaburan dalam instrumen kewangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg