Kumpulan DBS berkata ia akan memberi ganjaran kepada semua kakitangan, tidak termasuk pengurus kanan, dengan bonus khas sekali sebanyak $1,000 setiap seorang, dan merancang memperkenalkan satu dividen “pulangan modal” baru, memandangkan bank terbesar Singapura itu melaporkan pendapatan rekod bagi 2024.
Keuntungan bersih bank itu bagi suku keempat hingga Disember 2024 meningkat 10 peratus kepada $2.62 bilion berbanding $2.39 bilion pada 2023.
Ini sepadan dengan anggaran purata hampir $2.63 bilion daripada lima penganalisis, menurut data penganalisis pasaran LSEG, kata agensi berita Reuters.
Bank terbesar Asia Tenggara mengikut aset itu berkata ia telah mencapai prestasi rekod pada 2024 apabila keuntungan bersih setahun penuhnya meningkat 11 peratus kepada $11.4 bilion, dengan pulangan ke atas ekuiti pada 18 peratus, lapor The Straits Times.
Saham DBS melonjak $1.70, atau 3.8 peratus, melepasi $46 buat kali pertama mencecah $46.38 sejurus selepas dagangan dibuka pada 10 Februari.
Pada tempoh rehat dagangan tengah hari, DBS naik $1.03 atau 2.3 peratus kepada $45.71, manakala bank-bank seperti OCBC meningkat 0.9 peratus kepada $17.49 dan UOB pula naik 1 peratus kepada $37.77.
Pembayaran bonus terbaru DBS dijangka menyebabkan bank itu menampung kos sebanyak $32 juta.
Sebelum ini, ia menghulurkan bonus sekali sebanyak $1,000 kepada lebih 5,500 kakitangan baru dan berjawatan rendah sekitar Februari 2024 bagi membantu mereka mengatasi keprihatinan kos sara hidup.
Bank itu berkata ia merancang membayar dividen akhir sebanyak 60 sen bagi setiap saham bagi suku keempat 2024, satu peningkatan berbanding 54 sen setahun yang lalu.
Ini menjadikan dividen biasa untuk setahun penuh menjadi $2.22 sesaham atau $6.31 bilion – peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding setahun sebelumnya (2023).
DBS juga merancang memperkenalkan satu dividen pulangan modal sebanyak 15 sen sesaham setiap suku pada tahun kewangan 2025, sebagai langkah pertama menguruskan stok lebihan modal dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Dalam dua tahun berikutnya, DBS berkata ia jangkakan dapat membayar jumlah modal yang sama, sama ada melalui mekanisme ini atau lain-lain mekanisme, kecuali terdapat keadaan yang tidak dijangka.
“Pihak lembaga kami akan terus mempertimbangkan semua bentuk modal pulangan,” kata DBS.
Bank itu juga mengetepikan $100 juta daripada keuntungan 2024 sebagai sebahagian daripada komitmennya sehingga $1 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk menyokong masyarakat rentan.
Ketua eksekutif DBS yang akan bersara Mac ini, Encik Piyush Gupta, berkata beliau yakin tentang masa depan bank itu.
“Walaupun ketidaktentuan makro ekonomi dan geopolitik berterusan, francais dan transformasi digital yang dijalankan sepanjang dekad lalu meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk terus memberi pulangan yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Para penganalisis berkata pendapatan bank-bank tempatan mungkin terjejas tahun ini (2025), dengan pertumbuhan ekonomi global dijangka terancam oleh tarif perdagangan dan dasar-dasar lain daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Bagi 2025, DBS menjangka pendapatan faedah bersih kumpulan itu akan melepasi sedikit paras 2024, berdasarkan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika bagi dua pemotongan kadar faedah pada separuh pertama 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg