Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS capai nilai pasaran lebih AS$100b

Jun 10, 2025 | 4:14 PM
DBS, saham, harga saham
Saham DBS diniagakan dengan permodalan pasaran yang mencecah $129.2 bilion, menjadikan kenaikan harga saham DBS sepanjang tahun ini melebihi 4 peratus. - Foto BT

DBS Group Holdings menjadi syarikat tersenarai pertama di Singapura yang mencapai nilai pasaran lebih AS$100 bilion ($129 bilion), dibantu oleh mata wang Amerika Syarikat yang semakin lemah.

Ini meningkatkan nilai saham bank tersebut dalam pasaran saham tempatan.

DBS Bank, pemberi pinjaman utama di Asia Tenggara, mencatat kenaikan sebanyak 0.9 peratus dalam dagangan di Singapura pada 9 Jun.

Saham DBS diniagakan dengan permodalan pasaran yang mencecah $129.2 bilion, menjadikan kenaikan harga saham DBS sepanjang 2025 melebihi 4 peratus, lapor The Business Times (BT).

Kenaikan harga saham DBS dalam nilai dolar Amerika didorong oleh mata wang Amerika yang lebih lemah.

Setakat ini, dolar Singapura telah meningkat sekitar 6 peratus berbanding dolar Amerika.

Harga saham DBS dalam mata wang tempatan turun sedikit daripada rekod tertinggi $46.67 yang dicapai selepas sesi perdagangan ditutup pada 26 Februari.

Pada nilai pasaran ketika ini, DBS menduduki tempat ke-22 dalam kalangan bank di peringkat sejagat.

Nilai pasaran DBS lebih tinggi daripada nilai pasaran Sumitomo Mitsui Financial Group, yang berpangkalan di Tokyo.

Namun, nilai tersebut masih sekitar separuh berbanding nilai pasaran HSBC Holdings.

Beberapa bank terbesar di Asia seperti Commonwealth Bank of Australia dan HDFC Bank dari India, juga mempunyai permodalan pasaran yang lebih besar.

Pencapaian DBS berlaku selepas bank di Singapura berikrar sejak beberapa bulan lalu untuk menyerahkan lebihan modal bernilai berbilion dolar Amerika kepada para pelabur, dirangsang oleh pendapatan tertinggi diraih pada 2024.

Secara khusus, DBS telah meraih keuntungan daripada kenaikan dalam yuran pinjaman dan yuran khidmat pengurusan harta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan DBS, Cik Tan Su Shan – yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Piyush Gupta pada Mac – berkata semasa taklimat prestasi kewangan pertamanya bahawa bank tersebut berusaha meraih manfaat daripada perubahan rantaian bekalan yang dilakukan oleh pelanggannya.

Selain itu, bank tersebut turut memanfaatkan permintaan meningkat bagi perlindungan risiko pertukaran asing, disebabkan langkah tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

“Sebahagian besar prestasi cemerlang DBS disebabkan pertumbuhan lebih pesat dalam khidmat pengurusan harta, yang kini mula mencabar pemain utama di Asia,” kata penganalisis kanan di syarikat khidmat kewangan Morningstar, Encik Michael Makdad.

Beliau turut menjangka perniagaan khidmat pengurusan harta akan terus berkembang di negara ini.

“Walaupun dengan tarif Trump, persekitaran masih agak baik bagi bank Singapura yang kini meningkatkan pemberian dividen saham, dan pembelian balik saham, melebihi jangkaan kami setahun lalu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg